Dua veteran DAP berundur, tidak tanding CEC

KUALA LUMPUR 19 Feb . – Dua veteran DAP Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun mengumumkan tidak akan bertanding pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 pada 16 Mac ini.

Dalam kenyataan bersama, mereka mengambil keputusan itu bagi memberi laluan kepada generasi baharu serta keyakinan penuh terhadap hala tuju kepemimpinan parti yang ada sekarang.

“Selama lima dekad, kami telah berjuang melalui proses demokrasi untuk merealisasikan visi ‘Malaysian Malaysia’ yang bebas, adil, saksama dan pelbagai. Ramai yang telah berkorban untuk perjuangan ini, sama ada sebagai wakil rakyat atau ahli biasa yang bekerja tanpa penat lelah di belakang tabir,” kata mereka.

Kok Wai, 67 adalah Penasihat Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Cheras manakala Kui Lun, 78 adalah Bendahari Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bukit Bintang.

Mereka sudah hampir setengah abad mengabdikan diri dalam perjuangan DAP dengan menyaksikan transformasi parti daripada sekadar pembangkang yang lama bertapak kepada rakan kongsi utama dalam kerajaan hari ini.

“Kami rasa bangga dan puas hati dengan perjalanan ini. Kini, DAP mempunyai ramai pemimpin berbakat dan pelan peralihan kepemimpinan yang tersusun. Tiba masanya generasi baharu diberikan lebih ruang untuk menerajui parti ke tahap lebih tinggi.

“Kami yakin penuh terhadap barisan kepemimpinan teras parti yang dilihat memiliki strategi mantap dalam usaha pembangunan parti dan kesiapsiagaan pilihan raya.

“Pendekatan mereka menunjukkan koordinasi yang baik antara usaha dalaman dan luaran, sejajar dengan perkembangan semasa. Kami yakin masa depan DAP berada di tangan yang berkemampuan,” kata kenyataan itu.

Menurut veteran itu, perubahan landskap politik dari semasa ke semasa menuntut gaya kepemimpinan yang berbeza bagi setiap generasi.

“Kepemimpinan teras DAP hari ini bersifat dinamik, menghubungkan legasi masa lalu dengan masa depan sambil menerapkan pembaharuan dan kemajuan. Kami mengiktiraf sepenuhnya kebolehan dan keupayaan mereka,” kata mereka.

Mereka turut menyatakan penghargaan kepada semua pejuang DAP, termasuk anggota akar umbi yang telah berkorban tanpa mengharapkan pengiktirafan.

“Kami berhutang budi kepada semua rakan seperjuangan. Parti ini milik kita bersama, dan kita semua boleh berbangga dengan pencapaiannya,” kata mereka.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment