Tabung Kasih@Hawana bantu tiga yatim piatu

CHERAS 16 Feb. – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyampaikan bantuan tunai Tabung Kasih@Hawana dan peribadi kepada anak-anak bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar.

Fahmi berkata, beliau terkesan dan bersimpati dengan tiga anak Muhammad Basir yang kini yatim piatu susulan pemergian bapa mereka pada petang semalam, akibat masalah kesihatan kronik.

“Saya sangat terkesan kerana waktu kami melawat dahulu, antara perkara yang kita usahakan adalah internet percuma untuk keluarga ini kerana tiga orang anak yang masih belajar.

“Hari ini, saya sangat terkesan kerana anak-anak ini sekarang benar-benar yatim piatu, jadi terima kasih saya ucapkan kepada pihak Bernama yang mengusahakan bantuan dan sumbangan,” katanya ketika menziarahi anak-anak Allahyarham.

Allahyarham menghidap penyakit jantung meninggal dunia pada 6.45 petang semalam di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, setelah hampir dua tahun Isteri Allahyarham, Nor Azlina Jaafar, bekas jurufoto Kumpulan Utusan meninggal dunia pada 17 Oktober 2023.

Pasangan ini meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun.

Fahmi berkata, beliau juga berhasrat untuk membayarkan bil telefon bagi ketiga-tiga anak Muhammad Basir untuk tempoh setahun.

“Saya akan cuba dapatkan maklumat mengenai nombor telefon ynag digunakan oleh ketiga-tiga anak ini. Insyaa-Allah sekiranya pelan tersebut merupakan pelan pascabayar saya akan bantu untuk membayarkan Internet mereka untuk setahun.

“Ia untuk mengelakkan sebarang masalah sekiranya anak-anak ini cuba untuk berhubung dengan ahli keluarga, saudara atau sesama mereka,” katanya.

Pihaknya juga akan meneliti sekiranya keluarga allahyarham layak menerima manfaat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu perbincangan akan diadakan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi mencari mekanisme terbaik untuk membantu bekas pengamal media mengalami penyakit kronik.

“Setakat ini jumlah penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA adalah seramai 303 orang dan insya-Allah kita akan terus menyantuni dan mungkin saya akan bincang dengan pihak Bernama berkenaan cara-cara untuk membantu terutama bekas wartawan yang mungkin mengalami masalah sakit kronik dan sebagainya,” katanya.

Usaha tersebut untuk membantu golongan terjejas atau menghadapi kesukaran, khususnya bagi bekas wartawan yang menghadapi penyakit kronik.

Nnn

Related posts

Leave a Comment