SUNGAI SIPUT – Serbuan Op Hazard di sini berjaya menahan seorang saintis warganegara China dan 26 yang lain di sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) haram di Kawasan Perusahaan Rimba Panjang di sini hari ini.
Susulan itu, pihak berkuasa menyita pelbagai barangan bernilai RM1.3 bilion.
Serbuan menerusi Op Hazard sekitar pukul 9.30 pagi semalam itu dilaksanakan Unit Risikan Batalion 1, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira sebulan.
Kilang terbabit terletak kira-kira dua kilometer (km) dari jalan utama melalui laluan berbatu kerikil dan tidak berdaftar dengan JAS bagi memproses e-waste.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, berkata tangkapan dilakukan pihaknya membabitkan dua lelaki warga tempatan dan 25 warga asing termasuk seorang kanak -kanak berusia dua tahun.
Beliau berkata, warga tempatan yang ditangkap dipercayai berperanan sebagai pemilik hartanah dan penyelia yang mengendalikan pekerja dalam kilang membabitkan 11 lelaki warganegara China, 10 lelaki dan dua wanita serta kanak-kanak warga Myanmar.
Katanya, pemeriksaan di kilang seluas 4.8 hektar itu menemukan e-waste bersama beberapa mesin pemprosesan, peleburan, memasak sisa e-waste dan makmal bagi mengurai, menentukan jenis bahan logam termasuk emas, kuprum, timah, tembaga serta lain-lain.
“Hasil siasatan mendapati buangan disyaki buangan terjadual di kilang terbabit dibawa masuk dari China dan beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Bolivia, Oman dan Thailand melalui Pelabuhan Klang serta dihantar menggunakan kontena diisytiharkan sebagai barangan lain.
“Pemeriksaan di keseluruhan kawasan kilang ini menemukan beberapa komponen termasuk peralatan dan jentera untuk dibawa ke kawasan peleraian, penguraian dan dihancurkan ke proses peleburan, pengasingan kepada unit logam sehingga hasil akhir yang sudah siap dimampat.
Kita juga menemukan sebuah makmal dikendalikan warganegara asing, dipercayai untuk membuat penyelidikan dari segi kualiti dan kuantiti e-waste yang sudah diproses,”katanya pada sidang media di lokasi serbuan itu hari ini.
Shahrum berkata, semua warga China yang ditahan mempunyai dokumen masuk ke negara ini, namun siasatan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai cop keluar dan masuk ke negara ini, justeru terdapat kemungkinan dokumen terbabit adalah palsu.
“Warga Myanmar yang ditahan itu pula tidak mempunyai sebarang dokumen dan mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Shahrum berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 34A (6) Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kerana tiada kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Seksyen 14 Akta sama kerana tiada lesen.
Beliau berkata, persampelan dibuat JAS Perak mendapati buangan dikategorikan sebagai buangan terjadual SW110-EWASTE dan SW104- DEBU atau DROS yang mengandungi logam berat seperti aluminium, arsenik, raksa, plumbum dan pelbagai lagi, dengan sampel rasmi akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
