SEPANG 24 Sept. – Bersatu menasihatkan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak memandang remeh atau menafikan peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dengan melemparkan tohmahan jahat tidak berasas untuk meraih simpati politik serta menutup kegagalan kepemimpinan sedia ada gabungan itu.
Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, berkata ini kerana RoS sudah berulang kali memberi peringatan secara bertulis kepada PN supaya menjalankan segala aktiviti pertubuhan selaras Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] dan Perlembagaan gabungan politik berkenaan.
Beliau menarik perhatian mengenai aduan bertulis Bersatu ada 11 Ogos lalu kepada RoS berkenaan pelanggaran perlembagaan PN oleh kepemimpinan baharunya.
Azmin menerusi kenyataan media menegaskan aduan itu antara lain menyebut bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu serta isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan PN.
Katanya , tindakan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi adalah satu kesalahan dan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan PN.
Bersatu juga mengemukakan aduan mengenai kewujudan ‘kuasa veto’ yang mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi PN.
“Individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi sering mengeluarkan kenyataan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman dan tekanan untuk melucutkan dan/atau menggugurkan Bersatu sebagai Parti Anggota yang sah dalam gabungan itu.
Amalan ini bercanggah kuasa diberikan kepada Majlis Presiden PN di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan PN,” katanya.
Mohamed Azmin berkata RoS mengesahkan menerima aduan Bersatu dan memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan penelitian terhadap aduan dibangkitkan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan-peraturan berkaitan dan perlembagaan PN.
“Saya telah hadir mewakili Bersatu untuk memberi keterangan kepada RoS pada 18 Ogos di Ibu Pejabatnya di Putrajaya berhubung aduan yang dibuat Bersatu.Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada Pegawai Penyiasat RoS dan menerangkan asas aduan dibuat pada 11 Ogos lalu itu,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin mengesahkan Bersatu sudah menerima salinan perintah penggantungan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September 2026 daripada RoS.
Pihaknya juga dimaklumkan melalui siaran media RoS bertarikh 24 September mengenai notis di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bertarikh 22 September yang meminta PN memberikan penjelasan berkenaan aduan dilaporkan oleh Bersatu itu.
