MELAKA 25 Sept. – Bekas Speaker Dewan Negara Dr Rais Yatim, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan berkait krisis adat Negeri Sembilan.
Rais, 84 dituduh di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, menyebut perkataan menghasut di Parkroyal A’ Farmosa Melaka Resort, Jalan Kemus, Simpang Ampat, Alor Gajah pada 5 Jun lalu, kira-kira jam 1 tengah hari.
Bekas Ahli Parlimen Jelebu itu didapati telah menyebut perkataan menghasut iaitu: “Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12. Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang Dipertuan Besar ke-12, melakukan apa-apa sahaja hal kedirajaan.
Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan.”
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar yang memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun Rais yang diwakili lima peguam, termasuk anaknya, Danni memohon jaminan dikurangkan atas alasan memberi kerjasama baik dengan hadir ke mahkamah pagi ini walaupun lewat dimaklumkan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan semula.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu antara yang hadir ketika Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu di sebuah hotel di Alor Gajah pada 5 Jun lalu.
Istana Negeri Sembilan bagaimanapun menegaskan pengisytiharan itu tidak sah dari segi perlembagaan, undang-undang dan adat negeri.
Nnn
