Lima penjuru di kawasan Shafie

JIKA pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal menghadapi pertandingan satu lawan satu tetapi pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) kali ini, beliau berdepan dengan empat pencabar termasuk anak buahnya sendiri.

Kali ini Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Norazman Utoh Nain, yang juga anak buahnya, Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah)  Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah). 

Semasa PRU-14, Shafie yang akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, beliau berhadapan calon Barisan Nasional (BN) iaitu  sepupunya Nasir Tun Sakaran.

Senarai calon yang bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Benedict Asmat pada kira-kira pukul 11.10 pagi selepas proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna ditutup.

Sementara itu, DUN Bugaya menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara penyandang Manis Muka Mohd Darah (Warisan Plus) dengan calon USNO, Parti Cinta Sabah (PCS), Perikatan Nasional (PN), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) serta dua calon bebas. 

USNO diwakili Ahmad Kenajaan, PCS oleh Jihek Basanu, Taraji Jamdi mewakili PPRS, Mohd Daud Tampokong mewakili PN dan dua calon Bebas iaitu Rasidan Abd Latiff akan menggunakan simbol kunci manakala Abdul Jan Muammil @ Abdul Jim menggunakan simbol ikan. 

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Dr Jaujan Sambakong, yang juga Naib Presiden Parti Warisan, berdepan saingan tiga penjuru dengan Alahuddin Mohd Sarah dari USNO dan Abdul Manan Indanan (BN) bagi mempertahan kerusi DUN Sulabayan. 

Jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang adalah sebanyak 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012).

Related posts

Leave a Comment