KANGAR 6 Feb. – Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedia kembali ‘bertempur’ menentang Ahli Parlimen DAP yang dilihat mempersoalkan program keagamaan yang dianjurkan di Perlis baru-baru ini.
Ia susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.
“Saya melihat program saya di Perlis dipersoalkan dalam media. Saya rasa MP DAP itu berhasrat kembali ‘bertempur’ dengan saya dan Perlis seperti mana ‘gemulah politik’ Ramasami dan beberapa rakannya pernah lakukan,” katanya.
Mohd Asri menerusi hantaran di Facebooknya, berkata pada masa ini beliau mengambil sikap diam berhubung beberapa perkara termasuk membabitkan DAP, kerana menghormati Perdana Menteri sekarang dan kestabilan negara.
Begitu juga beliau mempunyai beberapa kawan dalam kepemimpinan DAP yang saya rasa menghormati sensitiviti rakyat negara ini.
“Namun, jika MP (Ahli-Parlimen)DAP itu ingin sangat menjual, saya -in syaa Allah- akan membeli seperti yang pernah saya beli ketika ‘gemulah politik DAP’ yang lepas menjualnya,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer membangkitkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan Dr Zakir Naik yang dikatakan dilarang berceramah di negara ini.
Perkara itu dibangkitkan susulan terdapat laporan sebuah portal berita bahawa Zakir membuat satu ucapan ataupun dakwah terbuka di Perlis baru-baru ini.
NNN
