Adendum: AGC nak rayu apa lagi?

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Pembangkang mempersoalkan kewajaran Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, atas semakan kehakiman  Najib Razak berkaitan isu Titah Adendum.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan, berkata permohonan berkaitan Titah Adendum yang dibawa Najib di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah persoalan fakta dan bukan persoalan undang-undang.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, keputusan penghakiman majoriti 2-1 yang memihak kepada Najib di Mahkamah Rayuan bermakna persoalan fakta isu itu selesai.

“Dalam Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, itu dalam undang-undangnya dipanggil question of fact (persoalan fakta). Persoalan fakta tidak ada banyak persoalan undang-undang. Apa persoalan faktanya?

“Yang pertama, adakah tiada Adendum. Itu undang-undangkah? Itu fakta. Ada atau tak ada. Yang kedua kalau ada Adendum ini, kuat kuasakanlah. Jadi apabila Mahkamah Rayuan dengan keputusan 2-1 memberi kemenangan kepada Datuk Seri Najib, bermakna persoalan fakta itu selesai.

“Bila persoalan fakta, you (kamu) nak rayu apa lagi? Bukan persoalan undang-undang. Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan, the highest court (mahkamah paling tinggi) adalah mahkamah yang akan mendengar isu-isu undang-undang…question of law (persoalan undang-undang). Ini tak ada question of law,” katanya.

Semalam, AGC memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung semakan kehakiman Najib berkaitan isu Titah Adendum.

Notis usul itu difailkan selepas kira-kira sebulan Najib berjaya mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

AGC memaklumkan, permohonan itu bertujuan memastikan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Pada 6 Januari lalu, Najib mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding semakan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Takiyuddin mendakwa, berdasarkan salinan notis usul AGC yang diperoleh pihaknya, AGC meminta Mahkamah Persekutuan mengkaji semula keputusan Mahkamah Rayuan itu.

“Apa yang penting sekali, salah satu daripada permohonan mereka adalah supaya mahkamah membuat satu perintah bahawa semua prosiding di Mahkamah Tinggi yang berlangsung sekarang digantung sehingga pelupusan rayuan mahkamah,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment