SEPANG 6 Feb . – “Jangan cuba bermain api dengan umat Islam di Malaysia,”, itu ingatan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden susulan bantahan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) terhadap garis panduan kehadiran umat Islam ke majlis agama lain.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, kenyataan DAPSY jelas satu bentuk campur tangan yang biadab dan tidak bertanggungjawab serta menunjukkan keangkuhan dan kejahilan dalam memahami kedudukan Islam di negara ini.
Menurut beliau, garis panduan ditetapkan bukan satu bentuk sekatan atau penindasan, sebaliknya keperluan untuk memastikan akidah umat Islam sentiasa terpelihara.
Katanya, Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan segala keputusan berkaitan dibuat pihak berautoriti seperti Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Siapa DAPSY untuk mempertikaikan hal ini? Apa hak mereka untuk campur tangan dalam urusan umat Islam sedangkan mereka langsung tiada autoriti?
“Pemuda Pas takkan berdiam diri apabila ada pihak luar cuba menekan umat Islam dengan agenda liberal melampau. Kenyataan DAPSY bukan sahaja memperlihatkan keangkuhan, tetapi juga seolah-olah mahu mencabar kedudukan Islam di negara ini.
Adakah mereka mahu membuka jalan kepada lebih banyak provokasi terhadap Islam atau memang tidak pernah belajar daripada kesilapan sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa Jakim sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain pada penghujung Februari ini.
Garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian bukan Islam, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Bagaimanapun, DAPSY membatah cadangan itu malahan Ketua Pemudanya, Woo Kah Leong mencadangkan agar kerajaan membatalkan pelaksanaan dan mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung perkara berkenaan.
Afnan Hamimi menegaskan, umat Islam tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menafikan hak mereka demi menjaga kesucian agama Islam.
Tambahnya, jika DAPSY benar-benar ingin bercakap soal keharmonian, pihak berkenaan sepatutnya menghormati garis panduan ditetapkan, bukannya mempertikaikan.
“Jika mereka masih berkeras, kami takkan teragak-agak untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan Islam tidak diperkotak-katikkan oleh pihak yang berkepentingan politik.
“Cukup-cukuplah dengan sikap kurang ajar sebegini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam di Malaysia. Kami akan terus mempertahankan agama ini walau apa pun yang terjadi,” kata Afnan Hamimi.
Nnn