SEPANG 19 Jan.- Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) bersedia menyaman sekumpulan individu sebanyak RM1 juta kerana disyaki mengasari dan mencederakan lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dalam kejadian di sebuah pasar tani di Chukai, Terengganu, Jumaat lalu.
Pengerusinya, Zulkarnain Mahdar, berkata, G57 juga bersedia untuk melangsaikan kerugian peniaga yang terjejas akibat kesilapan yang dilakukan lelaki berkenaan.
Dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan tindakan saman itu sebagai amaran keras kepada penganiayaan dan penindasan terhadap golongan tidak berdaya, khususnya OKU.
“Saman ini adalah nilai yang perlu dikenakan ke atas kumpulan penyerang itu kerana bertindak di luar batas undang-undang.
“Kumpulan peguam kami akan menghubungi keluarga lelaki berkenaan bagi berbincang dan berharap mereka bersetuju untuk memulakan proses saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkarnain juga mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak dwi standard dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan.
“Kita menentang kekejaman Israel, tetapi pada masa sama kejadian menimpa lelaki OKU itu jelas menggambarkan perilaku yang serupa dengan kekejaman negara haram itu.
Sehubungan itu, kami berharap keluarga lelaki OKU terbabit tidak menarik semula laporan polis walaupun selepas ini usaha memujuk mereka dibuat,” katanya.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal dikatakan melanggar sebuah gerai jualan, kira-kira pukul 9.30 pagi menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh.
Susulan itu, mangsa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera dan dibawa ke Hospital Kemaman serta dirawat sebagai pesakit luar.
Berikutan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.