PUTRAJAYA 11 Jan. – Satu kes baharu jangkitan cacar monyet atau ‘monkeypox’ (Mpox) varian clade II dikesan semalam menjadikan jumlah keseluruhan 12 kes jangkitan di negara ini, sejak Julai 2023.
Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan demikian memaklumkan kes terbaharu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dengan sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari dan terbabit dalam aktiviti berisiko.
“Pesakit telah mendapatkan rawatan pada 10 Januari lalu (semalam), kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.
“Sebanyak sembilan kes dilaporkan pada tahun 2023, dua kes pada tahun 2024 dan satu kes bagi tahun 2025. Kesemua kes yang dilaporkan merupakan clade II,” katanya dalam satu kenyataan.
KKM akan terus memantau situasi Mpox didalam dan luar negara, dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, KKM menasihatkan orang ramai untuk mengikuti perkembangan rasmi terus daripada saluran yang sahih dengan mengikuti akaun-akaun media sosial KKM.
Katanya, untuk maklumat lanjut juga atau soalan lazim berkenaan Mpox, boleh dicapai di pautan mpox.moh.gov.my/ms/soalan-lazim.
Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus Mpox, iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.
Jangkitan boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.
Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.
Gejala Mpox ialah demam berserta ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva (selaput lut sinar yang melitupi mata putih dan bahagian dalam kelopak mata) dan juga kornea.
Tempoh pengeraman (incubation period) iaitu tempoh daripada terdedah kepada jangkitan sehingga individu menunjukkan gejala jangkitan Mpox adalah antara lima hingga ke 21 hari.
Nnn