KUCHING 11 Jan. – Kumpulan Media Sarawak (SMG) yang memiliki stesen TV Sarawak (TVS) bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang dijalankan terhadap pegawai kanannya itu.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu mengakui penahanan seorang pegawainya menarik perhatian umum, tetapi ia tidak mengganggu fokus syarikat itu.
SMG dalam kenyataan di Facebook hari ini menjelaskan SMG tetap komited untuk menegakkan prinsip keadilan dan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika diperlukan dalam membantu siasatan.
“Walaupun kami memahami kebimbangan yang diutarakan oleh pelbagai pihak, kami ingin menjelaskan bahawa perkara ini di peringkat kakitangan dan tidak berkaitan dengan kumpulan SMG dan TVS secara keseluruhan,” kata kenyataan itu.
SMG menegaskan operasi perniagaannya akan diteruskan seperti biasa dan menggalakkan pertanyaan atau penjelasan mengenai perkara ini disalurkan terus kepada saluran komunikasi rasminya bagi memastikan maklumat tepat dan dipercayai.
Pihak SMG juga komited untuk mengekalkan kepercayaan dan integriti pihak berkepentingan dan orang ramai.
“Kami ingin juga menekankan bahawa penyebaran sebarang maklumat palsu atau dakwaan tidak berasas boleh menyebabkan implikasi yang tidak wajar kepada reputasi kami dan kami memandang serius tindakab sedemikian,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, dilaporkan, Mahkamah Majistret Kuching mengeluarkan perintah reman dua hari terhadap Ketua Pegawai Eksekutif TVS dan seorang wanita yang ditahan atas dakwaan pengubahan wang haram.
Kedua-dua suspek itu dibawa ke Kuala Lumpur bagi memudahkan siasatan.
Suspek berusia 62 dan 60 tahun itu ditahan semalam dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram kerana pengubahan wang haram.
Terdahulu , Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mengesahkan menahan lima individu, termasuk CEO sebuah stesen penyiaran di Sarawak kerana disyaki terbabit kes pengubahan wang haram menerusi Op Ragada.
Beliau dilaporkan berkata, semua suspek ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman menerusi OP Ragada dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak.
Nnn