BN perlu bertindak lebih strategik

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga kerangka yang perlu dirungkai bersama untuk BN yang sudah berusia 50 tahun itu bergerak ke hadapan.

Beliau berkata, kerangka pertama ialah penjenamaan semula yang mesti mencerminkan transformasi selari dengan cabaran semasa melalui pendekatan proaktif, inklusif dan inovatif.

“BN mesti membina semula identitinya sebagai kuasa dinamik dalam politik Malaysia, dengan naratif yang sesuai dengan kehendak zaman,” katanya.

Kerangka kedua ialah mentakrifkan semula kesesuaian strategi, gerak kerja dan tindakan BN berbanding pendekatan BN dahulu lebih tertumpu kepada cara tradisional dalam menyantuni rakyat.

“Kini, BN perlu berubah menjadi parti yang berasaskan data serta memanfaatkan teknologi terkini untuk memahami sentimen dan corak pemikiran rakyat.

“BN juga perlu mengamalkan budaya politik baharu yang mengutamakan meritokrasi dan intelektualisme,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas Ke-50 BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerangka ketiga ialah menyusun semula dan memperkukuh gerakan akar umbi, membina kepercayaan rakyat, serta menangani cabaran masyarakat dengan pendekatan inklusif dan aspirasi bersama.

“Pendekatan pemilihan calon juga perlu diperkemaskan dengan memberi keutamaan kepada mereka yang aktif di lapangan,” katanya sambil menegaskan pemimpin BN perlu turun padang, berkongsi cerita dan menunjukkan empati terhadap rakyat.

Beliau berkata, sikap rendah hati akan menjadikan BN lebih dekat di hati masyarakat.

“Penjenamaan semula perlu disokong dengan strategi moden seperti memperbaharui slogan, bahan kempen dan pengisian media sosial, sekali gus mencerminkan era baharu yang lebih dekat dengan aspirasi anak muda serta generasi digital,” katanya.

Ahmad Zahid juga menegaskan gabungan parti itu perlu melepaskan ego demi mencapai kepentingan politik negara di samping bersedia mencipta perubahan yang melangkaui kepentingan parti dalam mengatur agenda politik

Katanya, BN perlu bersedia melihat dari sudut pandang yang lebih luas dan menyusun langkah demi mencapai matlamat lebih besar.

“Sebagai contoh jika kita hendak berbicara mengenai pembahagian kerusi, pastinya UMNO sendiri ingin mendapatkan semula semua 121 kerusi yang pernah ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Namun realitinya, kita perlu bertindak lebih strategik. Kalau dikaji, setiap parti teras pernah mengetepikan ego masing-masing.

“Tatkala penubuhan BN sendiri, UMNO mengetepikan ego untuk bekerjasama dengan Pas, begitu juga MCA… walaupun seteru, pernah bersama Gerakan, dan MIC pula bersama MyPPP,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, BN juga perlu bijak menguruskan keutamaan, iaitu kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat, walaupun terdapat keinginan untuk kembali menjadi parti dominan.

Beliau berkata, rakyat kini menilai bukan hanya pada janji tetapi juga tindakan dan keputusan yang menunjukkan kebijaksanaan dalam menguruskan negara.

“Pilihan untuk bersama Kerajaan Perpaduan adalah pengorbanan besar, namun ia juga peluang untuk BN membuktikan bahawa kita adalah komponen dalam gabungan itu yang matang dan bertanggungjawab.

“Menangguhkan keinginan bukan bermaksud melupakan, tetapi memberi laluan kepada agenda lebih besar. Apabila pengorbanan ini dirasai rakyat, maka BN akan kembali dominan seperti yang kita semua harapkan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment