BN tidak akan dibiarkan runtuh

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Barisan Nasional (BN) sedang melalui fasa membina semula selepas bangkit daripada krisis besar sebelum ini, kata Setiausaha Agungnya, Dr Zambry Abd Kadir

Katanya, BN tidak didirikan untuk dibiar runtuh sebaliknya akan terus bertapak dengan kekuatan akar umbi, barisan pimpinan berwatak sederhana dan pembina negara serta perpaduan dan komitmen politik khidmat yang hebat.

“Tanpa berkhayal atau diulit sindrom penafian akibat kekalahan lalu, kita mahu mengingatkan sesebuah institusi politik seperti BN tidak didirikan untuk dibiar keruntuhannya.

“Dalam perjalanan lima dekad BN, terakam deritanya sendiri tetapi ia juga punya kisah kegemilangan.

“Krisis besar sudah terjadi, tetapi krisis besar itulah juga yang kita ubah menjadi kesempatan,” katanya pada ucapan aluan sambutan Jubli Emas BN, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, BN dilihat tampil dengan semangat keberanian, mengemukakan kebenaran dan melawan kemungkaran fitnah di sebalik berhempas pulas melawan serangan pelbagai arah.

“Semoga kehadiran hari ini menandakan langkah ke hadapan buat BN bagi menggapai idea segar dan membina kembali secara tuntas parti serta menjadi jurubicara dan pembawa cita-cita rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry menghargai semangat perwakilan yang tetap hadir dengan semangat BN.walaupun beberapa negeri masih berdepan isu banjir.

“Kita semua terkesan dengan nasib sahabat kita yang dilanda banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah, namun atas semangat BN, mereka tetap datang. Jumlah kehadiran hari ini melebihi 5,000 semuanya,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment