PRN: Muhyiddin tidak bertanding

SHAH ALAM 25 Jan. –  Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang disandangnya sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Muhyiddin menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu dalam PRN berkenaan.

“Saya mungkin tidak akan bertanding. Ini terserah kepada pimpinan tentukan (calon). Saya mahu tumpukan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat pusat dan menyampaikan mesej perjuangan kita.

“Jadi saya mahu bagi peluang kepada tokoh di Johor dan terserah kepada merekalah siapa yang mahu diisi, kita akan putuskan nanti,” katanya sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon Pas, Dr Mahfodz Mohamed.

Sementara itu Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani.

Beliau berkata Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.

“Sekiranya Muda bertanding, kita akan pastikan calon daripada parti ini adalah anak tempatan,” katanya di Pejabat Urusan Parti Muda Johor di Kempas di sini hari ini.

Beliau berkata, Muda Johor yang kini mempunyai keahlian lebih 12,000 orang sedang mempersiapkan jentera dan manifesto parti dalam menghadapi PRN itu selain bakal menggerakkan jentera di semua kawasan pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment