PRU: MIC tolak formula parti menang kekal

KUALA LUMPUR 7 Dis. – MIC tidak setuju dengan formula parti yang memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diberi mandat mengekalkan kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Justeru Timbalan Presiden, M Saravanan, menggesa pemimpin BN supaya tidak berpegang kepada prinsip itu apabila memilih calon bagi PRU16 kelak.

“Pendirian hari ini, MIC tidak setuju dengan formula kerusi yang menang akan dikekalkan, ia tidak sesuai untuk MIC dan UMNO.

“MIC mati-mati tidak akan bersetuju. Kita lihat semangat kita. MIC menang di Cameron Highlands, bukan kalah. Apabila kita lihat lebih sesuai letak calon UMNO untuk menang, kita serahkan kerusi kepada UMNO.

Kalau kita ingin gunakan formula sekarang iaitu menang berdasarkan kerusi, kita tidak akan beri Cameron Highlands kepada UMNO,” katanya berucap mewakili MIC pada sambutan Jubli Emas BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands secara tradisinya adalah kerusi MIC. Pada 2018, bekas Naib Presidennya, Datuk C Sivaraj memenangi kerusi itu dengan majoriti 597 undi, mengalahkan empat calon lain termasuk pesaing terdekatnya daripada DAP.

Kemenangan Sivaraj bagaimanapun dibatalkan selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan berlaku pembelian undi oleh BN ketika kempen PRU.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu, wakil UMNO,Ramli Md Nor, memenangi kerusi berkenaan dan mempertahankan kerusi Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-15 dengan majoriti 4,544 undi.

Saravanan turut mempertikaikan formula diamalkan sebelum ini, iaitu mana-mana ketua bahagian atau ketua pemuda bahagian diangkat sebagai calon pilihan raya.

“Kalau kita guna formula ini, sampai mati pun kita tidak akan jadi calon. Friends of BN juga sampai bila-bila tampal poster sahaja,” katanya.

Pada PRU lalu, hanya Saravanan berjaya mempertahankan kerusi Parlimen MIC di Tapah sementara kerusi lain termasuk yang pernah dikuasai parti itu dimenangi calon Pakatan Harapan (PH).

Beberapa kerusi yang pernah dikuasai MIC sebelum ini adalah Hulu Selangor, Port Dickson, Sungai Siput dan Segamat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment