BEIRUT – Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mendakwa, wakil khas Amerika Syarikat (AS), Amos Hochstein, memberi isyarat positif dalam panggilan telefon semalam bahawa gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah mungkin tercapai sebelum Pilihan Raya Presiden AS pada 5 November depan.
Mikati dalam satu wawancara yang disiarkan oleh stesen penyiaran Lubnan, Al-Jadeed berkata, mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk mencapai gencatan senjata dalam beberapa jam atau hari.
Katanya, Hizbullah tidak lagi mengaitkan gencatan senjata di Lubnan dengan gencatan senjata di Gaza, namun mengkritik kumpulan itu atas penarikan lewat pendiriannya.
Sebelum ini, Hizbullah sering menyatakan mereka hanya akan menghentikan serangannya terhadap Israel jika gencatan senjata dicapai di Gaza.
Mikati juga mendakwa, gencatan senjata akan dikaitkan dengan pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menamatkan perang 2006 antara Israel dan Hizbullah.
Resolusi Majlis Keselamatan 1701 menyatakan bahawa hanya tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB boleh ditempatkan di selatan Lubnan, sambil menuntut pengunduran pasukan Israel dari wilayah Lubnan.
