LONDON – Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) mengesan kes pertama varian baharu Mpox clade Ib, yang diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Ogos lalu.
Bagaimanapun risiko virus berkenaan yang merebak ke negara jiran di Afrika selepas wabak di Republik Demokratik Congo kekal pada tahap rendah.
Menurut UKHSA, kes berkenaan membabitkan seorang pesakit yang baru-baru ini mengembara ke negara berisiko di Afrika, dikesan di London dan individu berkenaan telah dipindahkan ke hospital pakar.
“Kontak rapat kes berkenaan kini sedang dipantau oleh UKHSA dan organisasi rakan kongsi,” katanya.
Terdapat kes varian Mpox clade Ib yang dilaporkan di Burundi, Rwanda, Uganda, Kenya, Sweden, India dan Jerman, serta Congo.
Ia adalah varian virus yang berbeza daripada clade II, yang merebak di peringkat global pada tahun 2022, terutamanya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sesama jenis.
Mpox adalah jangkitan virus yang biasanya menyebabkan simptom seperti selesema dan kulit bernanah dan walaupun biasanya kesan ringan, ia boleh membawa maut.
Clade Ib juga menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding clade II.
Kedua-dua varian berkenaan boleh disebarkan melalui sentuhan fizikal rapat, termasuk hubungan seks.
Menurut angka terkini WHO, terdapat lebih daripada 44,000 kes Mpox yang disahkan dan disyaki di Afrika tahun ini serta menyebabkan lebih daripada 1,000 kematian yang kebanyakannya berlaku di Congo.
