MUAR 3 Sept. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan kepemimpinan Melayu, kuasa Melayu, Islam agama persekutuan, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan itu dipertikai, beliau sendiri sama sekali tidak mahu menjadi Perdana Menteri.
“Kawan-kawan kita dalam DAP, MIC, MCA bahkan PKR yang bukan Melayu tidak pernah pertikai itu dan saya tidak mahu jadi Perdana Menteri sekiranya prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dipertikai,” katanya.
Justeru Perdana Menteri meminta pihak tidak bertanggungjawab terutama pembangkang tidak perlu membangkitkan isu terbabit untuk menakut-nakutkan orang Melayu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Sungai Abong di sini malam tadi.
Perdana Menteri berkata, orang Melayu sendiri sudah terbiasa dengan janji dan slogan yang kononnya menekankan ‘Islam dan Melayu’ namun parti pembangkang, ketika menjadi pemerintah sebelum ini tidak melakukan sebarang perubahan.
“Adakah Islam ditegakkan dengan lebih baik, adakah rasuah berkurangan, adakah amalan ‘sakau’ harta rakyat berkurangan….tidak ada, yang banyak hanya slogan,” katanya.
Anwar berkata, beliau tidak kisah dicerca serta dimaki, namun azam dan hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai negara dengan ekonomi hebat di rantau ini tidak pernah terpadam.
“Makilah sebanyak manapun, cerca dan hina sebanyak manapun, 25 tahun dihina saya tidak kisah, saya nak guna kuasa ini untuk tolong negara dan rakyat,” katanya.
Beliau juga berharap, penduduk Simpang Jeram memberi sokongan padu kepada calon PH-BN, Nazri Abdul Rahman pada 9 September ini.
