KUALA LUMPUR 25 Okt. – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menikmati santapan pagi bersama rakyat dan warga kerja Seri Paduka di sebuah restoran di ibu negara.
Menerusi catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda juga meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama rakyat.
“Rakyat juga teruja berpeluang bertemu secara langsung dengan Seri Paduka,” menurut hantaran itu.
Sultan Ibrahim juga berkenan berjalan kaki meninjau kebersihan dan keadaan persekitaran ibu kota selepas selesai santapan.
Seri Paduka amat prihatin terhadap kebersihan serta kesejahteraan persekitaran awam, sejajar dengan usaha untuk memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya bersih dan teratur.
