“Jangan dengar guruh di langit, hujan tak jadi”

SEPANG 29 Sept.  – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap UiTM Holdings yang didakwa mengalami kerugian ratusan juta ringgit.

Presiden Putra Dr Ibrahim Ali yang mengalu-ngalukan kenyataan Perdana Menteri, yang mengarahkan supaya kelemahan pengurusan UiTM Holdings diteliti mahu arahan itu diperluaskan terhadap kemungkinan berlaku penyelewengan dan salah laku UiTM Holdings.

“Saya menggesa Perdana Menteri tidak sekadar mengarahkan semakan terhadap kelemahan pengurusan sebaliknya mengarahkan SPRM menjalankan siasatan terhadap segala kepincangan, kemungkinan berlaku penyelewengan dan salah laku yang dipercayai menyebabkan UiTM Holdings mengalami kerugian ratusan juta, malah mungkin mencecah lebih RM1 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar baru-baru ini mahu UiTM membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur tadbir urus serta pengurusan anak syarikatnya, UiTM Holdings, berikutan prestasi kewangan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan melalui kerjasama Naib Canselor UiTM dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman berkata, siasatan berkaitan beberapa isu melibatkan kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023 sedang dijalankan.

Siasatan tersebut merangkumi pelbagai isu termasuk pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang, di mana sejumlah RM42 juta dilaporkan dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil.

“Ditegaskan bahawa siasatan ini masih berjalan memandangkan kompleksiti kes yang melibatkan aspek teknikal serta menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan,” kata Abdul Halim.

Dalam pada itu Ibrahim mendakwa beliau sendiri membuat dua laporan berkaitan kepada SPRM iaitu pada 31 Januari 2023 dan pada 4 Disember 2023 di mana salinan laporan juga dihantar ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 5 Disember 2023 untuk perhatian dan tindakan lanjut tetapi tiada jawapan.

Katanya, sehingga kini, status siasatan terhadap laporan tersebut masih menjadi tanda tanya apabila tiada laporan siasatan yang jelas dan menyeluruh didedahkan kepada umum ketika Tan Sri Azam Baki masih menyandang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Lebih membimbangkan, laporan berkenaan seolah-olah disenyapkan atas alasan yang tidak munasabah. Hasil siasatan penuh belum didedahkan, namun kesimpulan seakan-akan telah dibuat, bahawa tiada asas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ibrahim yang juga mantan Ahli Lembaga Pengarah UITM memberitahu, mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Prof. Emeritus Dr. Ibrahim Shah Abu Shah, juga pernah membuat kenyataan terbuka mengenai dakwaan penyelewengan dalam UiTM Holdings.

Katanya, Dr Ibrahim Shah juga pernah memberikan keterangan kepada pihak-pihak berkaitan yang sewajarnya diberikan perhatian serta dijadikan sebahagian daripada siasatan yang menyeluruh, telus dan berintegriti.

Ibrahim juga mendakwa sebelum ini pihak SPRM pernah menjawab kepadanya melalui aplikasi WhatsApp bahawa tidak ada siasatan lanjut kerana tidak cukup bukti.

“Maka siasatan yang dicadangkan semula baru-baru ini wajib dilaksanakam dengan telus dan tegas. Tiada mana-mana pihak harus terlepas daripada penelitian sekiranya terdapat asas dan bukti yang memerlukan tindakan lanjut seterusnya wajib didakwa di Mahkamah secepat mungkin,” katanya.

Katanya , proses tersebut hendaklah dilaksanakan secara bebas, profesional dan telus dengan memanggil semua pihak yang mempunyai maklumat berkaitan.

“Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah serta ramai lagi wajar dipanggil semula bagi membantu siasatan, antaranya, boleh menumpukan terus terhadap isu projek solar dan sebuah filem yang diterbitkan.

“Bercakap sahaja tidak memadai. Tindakan yang pantas, telus dan berakauntabiliti lebih penting daripada retorik. Putra mahu melihat apabila bunyi guruh dinlangit, maka hujan pasti turun,” katanya.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment