Penganjur mohon maaf insiden bendera China

IPOH 25 Okt . – Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia memohon maaf susulan penularan video perarakan sambil mengibar bendera China di Menara Condong Teluk Intan malam tadi.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, tindakan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.

“Untuk makluman semua, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

“Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan program yang telah berlangsung banyak tahun dan dianjurkan dari Johor ke Kedah, Perak merupakan salah satu stesen yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Menurutnya, menjadi kelaziman, pihak pengelola akan mengibarkan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang sebagai simbol patriotik pada sambutan tersebut.

“Perarakan dan sambutan di Teluk Intan, Perak adalah tidak terkecuali daripada itu.
Sebagai pihak pengelola, saya sekali lagi memohon maaf atas insiden tersebut dan akan meneliti segala aspek yang perlu diperbaiki demi menjayakan program tersebut,” katanya.

Sementara itu, polis mengesahkan perarakan bendera negara asing yang turut tular di media sosial, diadakan tanpa permit.

Ketua Polis Perak,  Azizi Mat Aris, berkata perarakan berunsurkan keagamaan membabitkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam dan disertai kira-kira 400 penonton.

“Polis sudah memanggil penganjur untuk rakaman keterangan dan mereka juga akan diminta mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Azizi berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada pukul 12.39 tengah malam tadi.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Beliau juga menasihati mereka yang ingin menganjurkan perhimpunan supaya menghantar permohonan kepada polis dalam tempoh 10 hari sebelum tarikh perhimpunan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment