Najib pulang ke rumah, Loke keluar pejabat

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya dalam Kabinet kepada  Anwar Ibrahim, semalam dan hanya berkuat kuasa pada hari Datuk Seri Najib Razak pulang ke rumah.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, berlangsung perbincangan antara mereka berhubung perkara terbabit dan buat masa ini Perdana Menteri meminta beliau untuk terus kekal dalam jawatan buat sementara.

“Sudah tentu, saya tetap dengan keputusan parti untuk melepaskan jawatan sebagai menteri. Perdana Menteri akan membuat keputusan, tetapi saya berkata bahawa perlu ada tempoh masa yang ditetapkan.

Jadi, tempoh masa peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa pada hari Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak) pulang ke rumah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026 di sini hari ini.

Loke sebelum ini berkata beliau akan meletak jawatan dalam Kabinet susulan keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara dan denda Najib serta membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, perbincangan beliau dengan Perdana Menteri adalah mengenai alasan dan sebab meletakkan jawatan.

“Ini adalah keputusan parti. Keputusan parti dibuat berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Najib yang kita tidak setuju. Jadi, saya selaku Setiausaha Agung (DAP) meletakkan jawatan untuk menegaskan pendirian parti dalam isu ini,” katanya.

Mengenai penggantinya selaku Menteri Pengangkutan nanti, beliau berkata, perkara itu belum diputuskan.

“Belum ada (pengganti), saya pun masih bertugas,” katanya.

Sebelum ini, Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu susulan isu pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Bagaimanapun, Loke memaklumkan, menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri ketika bercakap kepada media Malaysia dalam perjalanan dari Shanghai ke Hangzhou, China bagaimanapun berharap Loke mempertimbangkan keputusan itu, selain tiada pihak menekan DAP supaya keluar Kerajaan Perpaduan.

Anwar dilaporkan berkata, beliau mengambil pendekatan untuk tidak terburu-buru dan gopoh dalam membuat keputusan berhubung hasrat Loke.

Related posts

Leave a Comment