Pejuang cabar Najib namakan ‘dalang’

SEPANG 25 Okt. – Parti Pejuang mencabar  Najib Razak menamakan setiap individu yang menjadi dalang serta individu-individu lain yang bersekongkol dan bersubahat menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya mahu dimaafkan.

Ketua Penerangannya, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu menamakan kesemua pegawai, jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Begitu juga Individu-individu yang menyatakan pernah berjumpa Raja Arab atau tahu mengenai derma Arab juga mesti dinamakan kerana turut bersubahat.

“Tidak kira pangkat atau status. Ini cabaran Pejuang pada Dato’ Seri Najib Razak.

Kalau tidak, jangan salahkan rakyat yang kata bahawa maaf itu hanya di lidah sahaja, demi syarat mendapat kemudahan tahanan rumah yang giat ingin dijalankan sepertimana diperlihat dalam ucapan pembentangan Belanjawan Madani Ketiga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Najib bekas Ahli Parlimen Pekan pada Khamis membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Mohamad Nizar semalam, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Dalam pada itu Muhammad Rafique berkata, memaafkan itu amalan yang mulia malah yang lebih mulia adalah yang memohon maaf dan yang kemudian memaafkan.

Berikut kenyataan penuh Muhammad Rafique

MAAF, tetapi…

1.Melalui Kenyataan Media yang dibacakan oleh anaknya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang tadi, Dato’ Sri Najib Razak telah menyatakan beliau merasa amat terluka dengan skandal 1MDB yang berlaku dibawah pengawasannya semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

2.Beliau juga memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Namun pada masa sama meletakkan Jho Low dan PetroSaudi sebagai dalang.

3.Maaf, tetapi…bukankah pada zaman Dato’Sri Najib ,seorang Peguam Negara digantikan dengan Apandi Ali ambil alih?

4.Maaf, tetapi…bukankah pada zaman Dato’ Sri Najib juga Pasukan Petugas Khas ( Special Task Force) yang menyiasat 1MDB terdiri dari  Peguam Negara, SPRM dan PDRM ditamatkan tanpa alasan munasabah?

5. Maaf, tetapi…bukankah pada zaman Dato’ Sri Najib juga dua(2) individu Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang dituduh dengan undang-undang SOSMA kerana cuba minta siasatan ke atas 1MDB dijalankan oleh badan siasatan antarabangsa?

6. Maaf, tetapi… bukankah pada zaman Dato’ Sri Najib juga pimpinan-pimpinan utama antara lainnya Dato Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyddin Yaasin dan Dato Seri Shafie Apdal dibuang dari UMNO kerana kelantangan dan keberanian mereka mempersoal isu 1MDB?

7. Maaf, tetapi…bukankah pada zaman Dato’ Sri Najib juga pelbagai pihak yang bersuara terhadap isu 1MDB dipanggil polis dan disiasat?

8. Maaf, tetapi…bukankah pada zaman Dato’ Sri Najib juga Peguam Negara Apandi Ali sahkan tiada apa-apa keterangan salahlaku? Namun Mahkamah pula kemudiannya dapati bersalah atas keterangan yang sama.

9.Ya, memaafkan itu amalan yang mulia. Malah yang lebih mulia adalah yang memohon maaf dan yang kemudian memaafkan.

10. Tetapi, Najib Razak perlu sekarang menamakan setiap individu yang menjadi dalang serta individu-individu lain yang bersekongkol dan sama-sama bersubahat dalam menutup skandal 1MDB.

11.Kesemua pegawai-pegawai Kerajaan dan/atau penguatkuasaan dan/atau jabatan dan/atau pendakwaan dan/atau GLC dan/atau ahli-ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab harus dinamakan.

12. Individu-individu yang menyatakan pernah berjumpa Raja Arab atau tahu mengenai derma Arab juga mesti dinamakan kerana turut bersubahat. Tidak kira pangkat atau status.

13. Ini cabaran Pejuang pada Dato’ Sri Najib Razak.

14. Kalau tidak, jangan salahkan rakyat yang kata bahawa maaf itu hanya di lidah sahaja, demi syarat mendapat kemudahan tahanan rumah yang giat ingin dijalankan sepertimana diperlihat dalam ucapan pembentangan Belanjawan Madani Ketiga.

Rafique Rashid

Ketua Penerangan PEJUANG

24.10.2024

Related posts

Leave a Comment