ANKARA 24 Okt. – Lima terbunuh manakala 22 yang lain cedera dalam apa yang disifatkan Ankara sebagai serangan pengganas di ibu pejabat Turkish Aerospace Industries (TAI).
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata, kedua-dua penyerang yang terlibat terbunuh selepas serangan itu, sementara dua daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
“Dua pengganas telah dineutralkan dalam serangan pengganas di tapak TUSAS Ankara Kahramankazan.
Malangnya, lima syahid dan 22 orang cedera dalam serangan itu. Tiga daripada mereka yang cedera telah pun dibenarkan keluar dari hospital, manakala 19 lagi sedang menjalani rawatan,” katanya.
Yerlikaya berkata berdasarkan gaya serangan, penyerang ‘berkemungkinan besar’ anggota Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.
Penyiar TV menayangkan rakaman penyerang bersenjata memasuki bangunan TUSAS, pengeluar aeroangkasa terbesar di Turkiye, yang kini menghasilkan pesawat latihan, helikopter tempur dan helikopter awam, serta sedang membangunkan jet pejuang tempatan pertama negara, KAAN.
Ia dimiliki oleh Yayasan Angkatan Tentera Turkiye dan kerajaan serta menggaji lebih 10,000 orang.
Sementara itu, Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, bersama Vladimir Putin dari Rusia di persidangan BRICS di bandar Kazan, Rusia, mengecam serangan itu dan menerima ucapan takziah daripada Putin.
NATO, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) turut mengecam serangan tersebut.
Nnnn
