Situasi negara anggota ASEAN

KES positif Covid-19 di INDONESIA, terus meningkat kepada 12,776 kes, berikutan pertambahan 338 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian meningkat kepada 930 berikutan 35 kes baharu.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata, sebanyak 28,508 pesakit masih dalam pengawasan Covid-19, manakala mereka yang sembuh kini berjumlah 2,381 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 423 kes, diikuti Jawa Timur (133), Jawa Tengah (90) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA pula mengesahkan secara awal pertambahan 741 kes jangkitan menjadikan jumlah terbaharu sebanyak 20,939 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan hanya 11 kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap manakala majoriti kes melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Dalam data terperinci yang dikeluarkan lewat Rabu, Singapura setakat ini mengklasifikasi 1,254 kes komuniti, 579 kes import, dan 607 kes melibatkan pemegang permit kerja yang ditempatkan di asrama.

Pekerja asing di asrama mendominasi jumlah pada Rabu melibatkan 20,198, bersamaan 88 peratus atau 17,758 kes.

Di THAILAND, 11 kes lagi sembuh menjadikan jumlah pulih 2,772 atau 92.65 peratus daripada keseluruhan kes di mana 165 masih menerima rawatan.

Hari ini, sebanyak tiga kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes 2,992. Satu kes dikesan di wilayah Yala manakala dua lagi melibatkan mereka yang baru pulang dari Kazakhstan dan dikuarantin. Tiada kematian dilaporkan.

Sementara itu VIETNAM  tidak melaporkan sebarang kes baharu dalam komuniti tempatan selama 21 hari berturut-turut dan jumlah kes kekal 271.

Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan dari jumlah itu, 131 adalah kes import dan mereka yang dikuarantin ketika tiba di negara ini.

Setakat ini 232 pesakit atau 86 peratus sudah pulih manakala 39 lagi masih dirawat, kebanyakannya dalam keadaan stabil. Ketika ini  20,942 orang dikuarantin, termasuk 169 di hospital, 6,469 di pusat kuarantin lain dan 14,304 lagi di rumah.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM pula merekodkan dua kes baharu menjadikan jumlah kes 141. Kes sembuh pula kekal 131.

Di FILIPINA sehingga pukul 4 petang Khamis, sebanyak 112 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 10,343 kes.

Menurut Jabatan Kesihatan negara itu, jumlah kematian meningkat kepada 685 berikutan tambahan 27 kes. .

Sebanyak 112 kes pulih yang membawa kepada 1,618 kes.

Related posts

Leave a Comment