ANKARA 24 Okt. – Turkiye melancarkan serangan ke atas pemberontak Kurdish di Iraq dan Syria selepas menyalahkan mereka atas serangan yang mengorbankan lima orang di sebuah firma pertahanan di Ankara.
Selain dua penyerang yang terbunuh ketika melancarkan serangan, seramai 22 orang lagi cedera dalam serangan itu, yang menurut kerajaan kemungkinan besar dilakukan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa jam kemudian, operasi udara dijalankan terhadap sasaran kumpulan berkenaan di utara Iraq dan Syria di mana 32 lokasi sasaran milik kumpulan itu berjaya dimusnahkan.
Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan sekutu baratnya, dan sudah melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad terhadap Turkiye.
Kumpulan itu mempunyai beberapa pangkalan di wilayah Kurdish di Iraq serta Syria.
Dalam serangan itu, satu letupan besar menggegarkan ibu pejabat Turkish Aerospace Industries (TAI) yang dikendalikan kerajaan kira-kira 40 kilometer (km) ke utara Ankara pada pukul 3.30 petang waktu tempatan.
Media Turki melaporkan, serangan bermula dengan tembakan, disusuli letupan dan kepulan asap, yang kemudian disahkan Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, dalam reaksi segeranya mendakwa ia sebagai serangan pengganas.
Yerlikaya berkata, tiga mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan kedua-dua penyerang iaitu seorang wanita dan seorang lelaki, sudah ditumpaskan.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu, namun Yerlikaya berkata, cara serangan itu dilakukan membuktikan ia berkemungkinan besar didalangi PKK
Menteri Pertahanan, Yasar Guler, turut menuding jari kepada PKK.
“Seperti yang selalu mereka lakukan, mereka cuba mengganggu keamanan negara kita melalui serangan yang keji dan tidak bermaruah. Kita akan membuat mereka menderita atas apa yang mereka lakukan,” katanya.
Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz berkata, empat daripada mangsa yang maut adalah pekerja TAI sementara yang kelima adalah pemandu teksi di mana pengganas didakwa menggunakan teksi berkenaan untuk melakukan serangan itu
Nnn
