KUALA LUMPUR 16 Okt. – Perbicaraan kes saman Dr Mahathir Mohamad terhadap Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan kepada 29 dan 30 Oktober.
Penangguhan itu susulan bekas Perdana Menteri berusia 99 tahun itu dikejarkan ke ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lewat petang semalam dan diberi cuti sakit sehingga 25 Oktober.
Perkara itu dimaklumkan peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir selaku plaintif ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan Mahathir boleh hadir ke mahkamah untuk menyambung perbicaraan pada 29 dan 30 Oktober.
“Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijadualkan untuk dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pada tarikh itu, selain soal balas terhadap plaintif,” katanya.
Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid, mengesahkan perkara itu.
Gan membenarkan permohonan melapangkan tarikh perbicaraan hari ini dan esok serta menetapkan 29 dan 30 Oktober depan, selain 5 dan 6 Disember serta 9 Disember depan untuk sambung perbicaraan kes berkenaan.
Pada 20 Julai 2022, Dr Mahathir memfailkan tuntutan mendakwa Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
Dakwanya, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya, selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.
