Ambil langkah keselamatan elektrik

PUTRAJAYA 16 Okt. – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik serta gas pada musim banjir.

Menurut ST, pelbagai risiko  boleh mengancam keselamatan, antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus dan kerosakan kelengkapan elektrik dan gas.

Dalam satu kenyataan hari ini, ST menasihatkan orang ramai mengambil langkah-langkah pengawasan sebelum banjir, semasa dan selepas banjir.

Sekiranya diarah berpindah, orang ramai perlu memastikan kelengkapan elektrik disimpan di tempat tinggi dan selamat daripada ditenggelami air banjir serta matikan suis bekalan utama di papan agihan elektrik.

“Pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan perlu dimatikan daripada suis utama seperti solar PV atau pagar elektrik dan tutup injap silinder gas atau gas berpaip,” menurut kenyataan itu.

ST juga meminta orang ramai mengelak melalui kawasan yang mempunyai talian elektrik atau pepasangan elektrik seperti pencawang dan bilik suis elektrik yang ditenggelami air.

Selain itu, tidak memegang tiang atau apa-apa struktur yang menyalurkan elektrik ketika banjir serta tidak mengalihkan tiang elektrik yang tumbang atau talian yang putus dan segera melaporkan kepada pihak utiliti elektrik.

Menurut ST, langkah selepas banjir adalah memastikan suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas berada pada kedudukan ‘OFF’ (ditutup) sebelum kerja pembersihan dimulakan.

Sebelum menghidupkan suis utama, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan baik dan kering serta sentiasa berwaspada apabila menjalankan aktiviti pembersihan banjir berdekatan talian, struktur pepasangan elektrik dan saluran gas berpaip.

Di samping itu, mereka juga diingatkan agar mengelak menggunakan kelengkapan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya dan mendapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan suruhanjaya itu sekiranya meragui keselamatan sistem elektrik dan gas berpaip.

Orang ramai turut dinasihatkan menyimpan nombor telefon pejabat bagi kecemasan seperti balai polis, bomba, hospital dan syarikat utiliti berdekatan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment