Najib dalam keadaan baik

SEPANG  25 Julai – Bekas Perdana Menteri,  Najib Razak yang menjalani prosedur koronari hari ini kini berada dalam keadaan baik dan akan meneruskan proses pemulihan di bawah pengawasan rapi doktor.

Situasi itu dimaklumkan oleh Peguambela dan peguamcara Najib, Tetuan Shafee & Co, dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu berikutan siri penilaian perubatan sejak beberapa minggu lalu, doktor mengesan penyumbatan pada salur darah koronari Najib yang memerlukan penilaian lanjut melalui angiogram koronari.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan penemuan itu,, pasukan perubatan menasihatkan ada kebarangkalian dianggarkan 95 peratus bahawa Najib akan memerlukan intervensi lanjut dalam bentuk angioplasti belon atau pemasangan stent.

Selepas angiogram koronari dan penilaian menyeluruh selesai dijalankan, hari ini, pakar-pakar yang merawat mendapati bahawa baik angioplasti belon mahupun pemasangan stent adalah tidak diperlukan.

“Sebaliknya, penyumbatan itu boleh dikawal secara berkesan melalui ubat-ubatan, pemantauan perubatan berterusan dan rawatan susulan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, keputusan untuk meneruskan prosedur hari ini dibuat sepenuhnya berasaskan keperluan perubatan dan penemuan klinikal yang ada ketika itu.

“Memandangkan kebarangkalian tinggi bahawa intervensi lanjut akan diperlukan, kebimbangan terhadap prosedur berkenaan adalah nyata dan berasas.

“Mujurlah, angiogram koronari terbabit menunjukkan penyumbatan itu boleh dikawal tanpa memerlukan angioplasti belon atau pemasangan stent,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, keluarga Najib turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pakar kardiologi dan kardiotorasik, jururawat serta seluruh pasukan perubatan di Pusat Kardiotorasik dan Kardiologi, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, atas profesionalisme, kepakaran serta penjagaan berdedikasi yang cemerlang sepanjang proses itu.

“Pihak keluarga juga merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia atas doa, sokongan dan ucapan baik yang berterusan,” kata kenyataan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment