JOHOR BAHRU 6 Okt. – DAP Johor dan rakan-rakan seperjuangan perlu berada dalam mode pilihan raya bermula April 2026, seterusnya meningkatkan lagi persediaan menjelang suku terakhir 2026, kata Pengerusi Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong.
Beliau berkata, tempoh persiapan itu adalah berdasarkan pengalaman lalu dan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang akan tamat pada 20 April 2027 manakala Parlimen pula pada 19 Disember 2027.
“Kita perlu membuat persediaan sekurang-kurangnya setahun sebelum tarikh tamat tempoh tersebut kemudian meningkatkan persiapan enam bulan sebelum tarikh itu, seterusnya menambah usaha apabila berada dalam lingkungan 100 hari jika Dewan Negeri atau Parlimen belum dibubarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Konvensyen DAP Johor yang berlangsung di sini hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menarik perhatian mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan PRU 2022 serta PRN Johor 2022 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru di banyak kawasan.
Bagaimanapun, sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada Ogos 2023, hampir kesemua kawasan menjadi medan satu lawan satu termasuk yang terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
“Formula satu lawan satu memberi manfaat kepada Kerajaan Perpaduan. Melalui kestabilan yang wujud, ia memberi keyakinan kepada sama ada pelabur, penjawat awam, atau anggota masyarakat, bahawa kerajaan ini akan terus kekal, malah mampu mempertahankan kedudukannya untuk penggal akan datang,” katanya.
Justeru katanya, parti mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi PRU ke-16 nanti.
“Setahun sebelum PRN di enam negeri, persoalan yang timbul adalah adakah Kerajaan Perpaduan akan menghadapi komplot yang sama seperti Langkah Sheraton? Malah ramai yang bertanya adakah Anwar boleh “survive”?
Tetapi kini keadaan sudah bertambah baik. Pertanyaan yang ingin diketahui sekarang adalah: Adakah Anwar akan memenangi PRU16?,” katanya.
Nnn
