Tok Mat jangka PRU16 lebih awal

REMBAU 25 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN),  Mohamad Hasan, menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal, kemungkinan  pada hujung tahun ini.

Menteri Luar itu juga pada masa yang sama mengesahkan akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU itu nanti.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau melihat ada kemungkinan Parlimen akan dibubarkan seawal hujung tahun ini sekiranya Perdana Menteri berasa keadaan sesuai untuk berbuat demikian.

“Besar kemungkinan PRU akan diadakan pada hujung tahun. Kalau Perdana Menteri berasa tidak sedap hati, beliau akan bubarkan Parlimen.

Jangkaan saya, paling lama pun Parlimen ini masih ada ialah hingga pertengahan tahun depan,” katanya ketika berucap pada program bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sawah di Rantau, di sini, hari ini.

Mohamad yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan kali ini, turut menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rembau.

Katanya, masih banyak perkara perlu dilaku bagi memastikan negara terus kukuh, stabil serta mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Ketua UMNO bahagian Rembau itu juga menekankan bahawa PRU DN kali ini perlu diuruskan dengan baik kerana ia akan menjadi persediaan penting menjelang PRU seterusnya.

“Jadi, saya minta pastikan kita urus baik-baik, ini sebagai eksperimen untuk kita terus memberi sokongan kepada BN,” katanya.

NNNN

Related posts

Leave a Comment