‘Itu kerusi Amanah punya’

SAMA seperti parti politik lain yang menjadi mangsa wakil rakyat lompat, parti  Amanah juga akan tetap meletakkan calon di kerusi “dibawa lari” bekas wakil rakyatnya termasuk yang menyertai PKR.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, perkara itu sudah dipersetujui Pakatan Harapan (PH) yang mana kerusi dimenangi parti dalam gabungan itu akan kekal ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Itu (kerusi wakil rakyat yang lompat) tetap menjadi milik Amanah,” katanya melalui Facebook parti itu semalam.

Setakat ini, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah menyertai parti lain iaitu tiga di Johor, Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) yang menyertai PKR.

Dua di Selangor, Ahmad Mustain Othman (Sabak) dan Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) juga menyertai PKR dan seorang di Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim (Titi Serong) yang menyertai Bersatu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini  menyatakan perkara yang sama, untuk meletak calon parti itu di semua kerusi dimenanginya yang telah dibawa lari.

Antara wakil rakyat PKR yang melompat sebelum ini adalah kumpulan Mohamed Azmin Ali dan terbaru, Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng.

Sementara itu Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa beliau pernah memaklumkan kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu berhubung hasrat dua ADUN parti itu yang ingin menukar parti.

“Saya sendiri pernah maklum kepada presiden Amanah tentang cadangan awal dan saya nasihat awal, mereka perlu rujuk dulu kepada presiden parti Amanah,” katanya kepada pemberita di Port Dickson, pada Selasa.

Related posts

Leave a Comment