SEPANG 25 Julai – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dr Asyraf Wajdi Dusuki menuntut ganti rugi RM5 juta daripada dua individu yang didakwa memfitnah dengan mengaitkan beliau dalam isu Lembaga Tabung Haji (TH).
Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Agung UMNO itu memaklumkan, peguamnya, Adnan Seman sudah diarah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) terhadap dua individu susulan dakwaan fitnah berkenaan.
Mereka ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Ismail Salleh dan pemilik akaun media sosial, Abied Abdullah.
Menurutnya, LOD berkenaan antara lain menuntut kedua-dua pihak memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah, mengemukakan aku janji serta membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta.
“Saya telah arahkan peguam saya mengeluarkan LOD ke atas Ismail dan pemilik akaun Abied Abdullah (Habin Faisal Mohamed) yang memfitnah, mengaibkan, menjatuhkan reputasi dan cuba mengaitkan saya dengan isu TH dengan tuntutan permohonan maaf, menarik balik kenyataan, aku janji dan ganti rugi berjumlah RM5 juta.
“Jika gagal, saman akan difailkan,” kata Asyraf Wajdi yang mendakwa kedua-dua individu terbabit menyebarkan kenyataan yang mencemarkan reputasi dan maruahnya dengan mengaitkan beliau dalam isu membabitkan TH.
Dalam pada itu, katanya, jika berjaya dalam tindakan saman itu, beliau akan menyalurkan keseluruhan wang ganti rugi yang diterima kepada Yayasan Pelajaran Mara (YPM) bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian.
“Insya-Allah, jika menang saman fitnah ini kelak, saya berjanji dan bertekad untuk salurkan setiap sen yang diperoleh ke Yayasan Pelajaran Mara bagi membantu anak-anak pelajar yang miskin dan susah untuk menyambung pengajian mereka,” katanya.
Nnnn
