PETALING JAYA 30 Sept. – Na’imah Khalid, isteri bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin, membuat laporan polis berhubung artikel Bloomberg mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suaminya.
Laporan Bloomberg sebelum ini yang memetik sumber, mendakwa SPRM diarahkan untuk menyiasat bekas Menteri Kewangan itu dan Dr Mahathir Mohamad serta anak-anak bekas Perdana Menteri.
“Saya di sini hari ini mewakili suami saya. Dia tidak dapat ke balai polis untuk membuat laporan disebabkan keadaan fizikalnya,” kata Na’imah kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Isteri bekas Menteri Kewangan itu hadir membuat laporan berkenaan dengan ditemani peguam, Rajesh Nagarajan dan Sachpreetaj Singh Sohanpa
Sebelum ini, SPRM dan Pejabat Perdana Menteri menafikan dakwaan ada arahan dikeluarkan di peringkat tertinggi kerajaan untuk menjalankan siasatan berkenaan.
SRPM menegaskan semua tindakan penguatkuasaan diambil tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
Sementara itu, Rajesh berkata, pihaknya berharap agar siasatan dilakukan secara adil dan bebas.
Awal tahun ini, Daim dibicarakan atas tuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset.
Na’imah juga dituduh dengan peruntukan sama, gagal mengisytihar pemilikan pelbagai syarikat, beberapa bidang tanah dan dua kenderaan.
Nnn
