Bayi 2024 dijangka hidup 75.2 tahun

PUTRAJAYA 30 Sept . – Bayi yang lahir pada 2024 secara purata dijangka hidup sehingga 75.2 tahun manakala bayi perempuan hidup 4.8 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata secara purata, seorang bayi perempuan dijangka boleh hidup sehingga 77.8 tahun iaitu 4.8 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki pada 73.0 tahun.

Dalam kenyataan bersempena penerbitan Jadual Hayat Ringkas Malaysia, 2022-2024, beliau berkata, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut negeri bagi 2022 hingga 2024 dicatat di Selangor, manakala Terengganu mencatat jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi tempoh sama.

Katanya , tiga negeri yang mempunyai jangkaan hayat melebihi jangkaan hayat paras nasional pada 2024 adalah Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kuala Lumpur.

Mohd Uzir berkata, jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi lelaki dan perempuan mengikut daerah pentadbiran pada 2024 dicatat di Petaling, Selangor (80.2 tahun) manakala Samarahan, Sarawak mencatat jangkaan hayat ketika lahir tertinggi bagi 2023 (79.6 tahun) dan 2022 (79.5 tahun).

Manakala Kuala Penyu, Sabah mencatat jangkaan hayat ketika lahir terendah bagi lelaki dan perempuan bagi tempoh 2022-2024.

Related posts

Leave a Comment