Semoga satu hari itu ditunjukkan kebenaran

APAKAH kejutan atau sera­ngan mengejut yang akan dilakukan oleh parti-parti politik menjelang hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) esok? Semua parti politik sudah tentu mempunyai ‘senjata’ terakhir untuk mendapatkan undi menjelang hari pe­ngundian pada Rabu ini. Dalam sehari dua yang lepas pun banyak kejutan dilaku-kan. Orang politik akan melakukan apa sahaja untuk mencari simpati pada saat-saat akhir. Sesuatu yang tidak terlintas di fikiran mereka untuk melakukannya sebelum ini akan dilakukan untuk meraih simpati golongan tertentu. Tidak dapat dinafikan, kempen kali ini memang panas dan hebat dengan kemunculan beberapa aktor lama tetapi memegang watak baharu. Jika dahulu mereka menjadi hero tetapi kini watak itu sudah berubah. Begitulah lumrah manusia. Umpama lakonan, pada masa muda bolehlah diangkat sebagai hero tetapi apabila sudah berusia atau tua, watak itu akan bertukar. Bagaimanapun keadaan kempen setakat semalam masih terkawal walaupun ada banyak laporan polis diterima. Tidak tahu apa pula perkembangan yang akan berlaku esok dan lusa. Kita mendoakan yang terbaik untuk menghadapi PRU ini. Cuma yang agak mendukacitakan apabila banyak fitnah, pembohongan dan maki hamun bertebaran. Selak sejak awal lagi sudah menjangka peranan ‘kilang fitnah’ ini menjelang PRU (Selak: Kilang fitnah semakin kreatif menjelang PRU, Utusan Malaysia 16 April 2018). Di samping­ fitnah baharu, fitnah lama juga dikitar semula. Sejauh mana kempen berbentuk fitnah ini mampu mempengaruhi rakyat hanya akan diketahui pada 9 Mei ini.

Walaupun kempen secara konvensional akan berakhir tengah malam esok tetapi secara maya akan berlarutan sehingga pe­ngundi berada di bilik mengundi. Di atas kertas, tidak dibenarkan lagi sebarang kempen pada hari Rabu ini. Lusa, semua yang layak mengundi perlu keluar ke pusat pengundian yang ditetapkan dan buat pilihan. Kempen 11 hari secara undang-undang sudah memadai tetapi hakikatnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dapat menguatkuasakan larangan berkempen selepas ‘wisel’ penamat pada 12 tengah malam Selasa ini. Tidak ada siapa yang akan peduli wisel penamat itu kerana mereka akan terus ‘berlari’ melepasi garisan penamat. Kempen melalui Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan Instagram akan terus memasuki telefon mudah alih pengundi-pengundi selepas tengah malam esok. Ucapan, ceramah dan pelbagai bahan secara online atau live Facebook akan ditularkan.

Pada hari terakhir inilah, setiap mesej yang masuk termasuk daripada nombor tidak dikenali akan terus dibaca disebabkan naluri in-gin tahu. Mungkin pengundi akan mengubah fikiran selepas dihidangkan dengan sesuatu yang menggugat keputusannya pada Rabu ini. Eloklah, pagi-pagi lagi keluar mengundi supaya tidak terpedaya dengan pelbagai pujuk rayu yang boleh mengubah pendirian. Amat membimbangkan, pada saat akhir, tidak ada masa bagi penerima untuk menilai sama ada benar atau tidak benar (palsu) pelbagai bahan yang ditularkan. Bagi yang mempunyai kemudahan atau sentiasa melayani media sosial ini sudah tentu dapat menilai sama ada apa yang ditularkan itu benar atau berbentuk fitnah yang bertujuan men-jatuhkan imej individu, calon dan parti tertentu. Tidak kurang juga yang akan menyebarkan perkara-perkara palsu yang boleh menimbulkan keresahan atau keraguan pengundi untuk keluar mengundi. Begitulah manipulasi media sosial untuk menyebar fitnah dan berita palsu. Diharapkan pihak yang bertanding dapat menggunakan tempoh bertenang selepas te­ngah malam esok dengan sebaik mungkin. Berilah peluang kepada pengundi-pengundi untuk membuat pilihan dengan tenang.

Menjelang hari pengundian, ramai juga pengundi yang sudah menetapkan pilihan. Kempen sekadar untuk menyakinkan mereka yang benar-benar setia kepada parti atau calon. Pada masa yang sama, mereka yang di atas pagar atau masih berbelah bahagi mampu mengubah fikiran pada saat-saat akhir. Buatlah keputusan dengan bijak berdasarkan fakta bukannya auta. Sebenarnya banyak faktor yang mempengaruhi pengundi-pengundi pada kali ini. Jika ada yang menganggap orang muda sebagai penentunya, sejak akhir-akhir ini, orang tua juga boleh menjadi penentu. Orang tua yang sudah berubah fikiran atas sebab tertentu sama ada merajuk, dendam, kepentingan diri dan sebagainya akan turut mempe­ngaruhi pengundi-pengundi. Justeru berfikirlah secara waras kerana dengan satu hari dan satu tanda X mampu mengubah segala-galanya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Masa itu amat penting walaupun sesaat. Inikan pula sehari dan lima tahun.Seperti ingatan penceramah bebas Ustaz Kazim Elias baru-baru ini supaya tidak dicuba-cuba dalam soal kuasa melalui pilihan raya lima tahun sekali. Jangan main-main lima tahun sekali PRU kerana dalam lima minit, lima jam, lima hari, lima minggu segalanya boleh berubah dalam sekelip mata. Justeru ja­ngan mudah terpengaruh dengan berita berunsur fitnah. Memang, sepanjang kempen ini banyak yang sudah ‘dilondeh dan ditelanjangkan’ tanpa rasa segan silu atau bersalah. Perkara yang dulu dikatakan salah, kini dianggap benar. Pemimpin yang dulunya disanggah sekarang disokong, Ada juga yang bertindak bagaikan talam dua muka atau seperti gergaji dua mata. Di hadapan pemimpin atau sekutu, masing-masing umpama lembut gigi daripada lidah. Ada udang di sebalik batu. Mereka menyambut baik penyertaan tokoh berkenaan tetapi di hadapan penyokong tegar, pemimpin parti ini mengutuk dan menghina tokoh yang disanjung itu. Bak kata orang pepat di luar rencong di dalam. Lebih malang, ada yang dijadikan kuda tunggangan tetapi pada masa yang sama dipukul atau disebat. Begitulah politik yang dikotorkan oleh orang politik.

Adat pertandingan, semua ca­lon inginkan kemenangan dan begitu juga penyokongnya mahu melihat parti atau calon dokongan mereka menang. Malangnya dalam perjalanan ke arah itu, ada yang mengambil jalan mudah dengan menyebarkan fitnah, mengutuk dan menghina dengan maklumat yang salah. Tidak kurang juga yang lidah bercabang. Matlamat mereka hanya inginkan kemenangan lima tahun sekali. Akhirnya terjadilah gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di te­ngah. Kalah jadi abu, menang jadi arang. Amat menyedihkan rakyat menjadi mangsa kepada tingkah laku mereka menyemai sikap buruk sangka ini dan pada masa yang sama golongan ‘cut & paste, forward & share’ menerima bulat-bulat apa yang masuk ke telefon bimbit mereka.

Semoga kita ditunjukkan jalan kebenaran sebelum kaki melangkah ke pusat pengundian. Mengundilah dengan tenang. Jangan ikut perasaan­ marah, dendam dan kecewa. Jangan marahkan nyamuk kelambu dibakar atau marahkan ketua kampung, seluruh kampung diamuk. Jangan menang sorak kampung tergadai. Ambil patinya, buangkan hampas. Ikan biar dapat serampang jangan pokah. Sebab berkelahi dengan perigi akhirnya mati dahaga. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian penyesalan. Selamat mengundi!

UMA070518012C#

Related posts

Leave a Comment