Kali ini Kit Siang bersara

SELEPAS beberapa kali menyatakan hasrat untuk meninggalkan politik, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, akhirnya memuktamadkan keputusan untuk bersara selepas lebih lima dekad, atau 56 tahun berpolitik.

Sebagai membuktikan pendiriannya kali ini, Kit Siang, 81 yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan menarik diri  daripada bertanding Jawatankuasa Tertinggi Parti (CEC).

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 di IDCC Shah Alam, hari ini, 20 Mac.

Tambahnya lagi : “Saya menarik diri daripada bertanding pilihan JTP (jawatankuasa tertinggi parti) hari ini. Sila padamkan nombor 39 daripada senarai calon JTP anda,”

Dengan keputusan ini, Kit Siang pada kali ini menepati janjinya apabila pernah menyatakan PRU14 akan menjadi medan pilihan raya yang terakhir baginya.

Menyelak kembali penglibatan sebagai wakil rakyat khususnya di peringkat Parlimen, Kit Siang telah menjadi wakil rakyat di lima negeri bermula pada PRU 1969 dan memenangi kerusi Bandar Melaka, Melaka bagi penggal 1969-1974.

Ini diikuti Kota Melaka (1974-1978) ; Petaling, Selangor (1978-1982) ; Kota Melaka (1982-1986); Tanjong, Pulau Pinang (1986-1999); Ipoh Timur, Perak (2004-2013); Gelang Patah, Johor (2013-2018) dan kini Iskandar Puteri (sejak 2018).

Beliau terpaksa berehat selepas PRU 1999 setelah tewas dalam pertembungan antara dua Setiausaha Agung (SUA) iaitu melibatkan dirinya sebagai SUA DAP dan SUA Gerakan Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera.

Kit Siang juga akan dikenang sebagai orang yang menamatkan karier politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr Lim Chong Eu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota pada tahun 1990.

Bagaimanapun kekalahan itu ditebus semula oleh pengganti Chong Eu iaitu Dr Koh Tsu Koon pada tahun 1995. Cubaan Kit Siang untuk menjatuhkan Ketua Menteri buat kali kedua gagal apabila tewas di DUN Tanjong Bunga.

Pada PRU 1999, beliau bukan sahaja kalah di Parlimen tetapi tewas sekali lagi bagi kerusi DUN iaitu di Kebun Bunga.

Sejak 1986, Kit Siang menyusun strategi untuk menawan Pulau Pinang selepas penghijrahannya dari Melaka melalui gerakan yang dinamakan Projek Tanjong I (1986); Projek Tanjong II (1990) dan Projek Tanjong III (1995).

Kegagalan Projek Tanjong menyebabkan beliau menyatakan hasrat untuk bersara daripada politik tetapi menarik balik hasrat itu.

Selepas berhijrah ke Perak pada PRU 2004, impian Tanjong terlaksana apabila pada PRU 2008, anaknya pula berhijrah dari Melaka dan kali ini kerjasama dengan PKR dan Pas membuahkan hasil.

DAP menang 19 kerusi, PKR 9 dan Pas 1 meninggalkan BN yang menang 11 kerusi yang kesemuanya melalui UMNO.

DAP berjaya menubuhkan kerajaan negeri sehingga sekarang, dan anaknya Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri. Lebih manis lagi apabila DAP turut membantu menubuhkan kerajaan Persekutuan pada PRU 2018.

Pastinya dua kejayaan itu – membentuk kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan – memberi kepuasan kepada Kit Siang. DAP tidak mudah ‘mengaku kalah’ selepas

menghadapi banyak kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan.

DAP tidak kenal erti putus asa, tidak mudah menyerah kalah. Daripada sebuah parti pembangkang yang kecil berkembang menjadi parti politik utama yang berjaya menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Di samping itu, DAP turut sama membantu mengambil alih kerajaan di tujuh negeri bersama rakan dalam Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam erti kata lain, persaraannya kali ini amat berbaloi kerana usaha gigih DAP selama ini sudah berhasil walaupun beberapa keputusan pada Pilihan Raya Negeri mengecewakan parti itu malahan PH sendiri.

Related posts

Leave a Comment