MoU: Wakil pembangkang ‘dimandulkan’

SEPANG 18 Sept. – Seorang penyokong kerajaan mendakwa draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan akan memandul dan membonsaikan peranan ahli-ahli parlimen pembangkang dan Gabungan parti pembangkang di Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR Hassan Abdul Karim berkata, MoU itu mengikat peranan dan fungsi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) serta bercanggahan dengan amalan demokrasi berparlimen.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, Ahli Parlimen pembangkang akan hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“Ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang yang merupakan kerajaan bayangan atau “Shadow government” terpaksa tutup mulut dalam perkara-perkara penting melibatkan hal rakyat dan negara.

Kenapa? Kerana mereka telah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu Badan Executive. Jadi MoU yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan bersifat membelenggu kebebasan ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, apabila ahli-ahli Parlimen menandatangani dokumen angkat sumpah di hadapan Speaker, mereka terikat dengan sumpah tersebut dan tidak perlu menandatangani satu lagi dokumen yang bernama MoU antara kerajaan dan pihak pembangkang.

Hassan juga menarik perhatian mengenai Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan iaitu setiap anggota Parlimen tanpa kecuali dikehendaki mengangkat sumpah yang

antara lainnya bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

Katanya, satu ciri penting Perlembagaan Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan ialah mengamalkan prinsip pengasingan kuasa.

Prinsip pengasingan kuasa itu bertujuan memelihara tiga badan utama negara iaitu Parlimen ( Legislative), Kerajaan ( Executive) dan  Mahkamah ( Judiciary) masing-masing bebas menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Tetapi MoU tersebut telah mengikat peranan dan fungsi ahli-ahli parlimen pembangkan di Parlimen,” katanya.

Hassan berkata, memperkenalkan MoU itu pada asasnya adalah contoh pencerobohan kuasa Eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan ahli-ahli parlimen pembangkang yang merupakan pihak yang penting di dalam Parlimen.

Cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU tersebut  juga boleh dianggap pihak Eksekutif iaitu Kerajaan Persekutuan cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Parlimen.

Justeru, reformasi yang dikehendaki di Parlimen ialah Kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang Peruntukan kawasan Parlimen, bahawa setiap kawasan Parlimen di seluruh negara diberi hak secara otomatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.

Katanya, setiap ahli parlimen sama ada di blok kerajaan atau di blok pembangkang atau di blok bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan Parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil.

“Undang-undang seperti inilah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang bukannya MoU seperti yang dihebohkan kini,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment