SEPANG 18 Sept. – Pas kesal dan dukacita dengan kenyataan yang didakwa melampau serta tidak beradab oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berhubung Abdul Hadi Awang dan Muktamar Tahunan ke-70 Pas minggu lalu.
Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepanjang Muktamar Pas berlangsung, tiada satu nama pun disebut dan diserang dalam ucapan oleh Presiden Pas itu.
Justeru Pas menjangkakan pelbagai tindakan akan menyusul kerana semakin dekat Pilihan Raya Umum (PRU), semakin menggelabah dan tidak keruan pihak Saifuddin Nasution dan partinya, Pakatan Harapan.
“Mereka akan sedaya upaya cuba menjustifikasi kenyataan agar tidak dilihat berbohong,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Saifuddin dalam satu kenyatan mendakwa Muktamar Pas itu mencatat sejarah sebagai kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam parti itu di bawah kepemimpinan Abdul Hadi.
Menurut Ketua Setiausaha PH itu, cacian dan kebencian dihidangkan pemimpin-pemimpin Pas dalam ucapan dan resolusi mereka pada muktamar itu
Tuan Ibrahim berkata, sepanjang perhimpunan berkenaan, Pas hanya memberi fokus kepada perkara dasar yang suatu ketika dahulu Saifuddin Nasution dan penyokong reformasi turut memperjuangkannya.
Katanya, agak janggal apabila Saifuddin Nasution membuat satu kenyataan media atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri yang hanya menyemai kebencian terhadap Presiden Pas dan bukan berkaitan keselamatan negara.
Tuan Ibrahim yang mempertahankan Presiden Pas berkata, sejak penubuhan parti itu, Abdul Hadi adalah sosok yang telah berjaya mengangkat Pas bersama dengan Perikatan Nasional (PN) ke tahap tertinggi.
“Ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuklah Saifuddin yang hanya berniat jahat,” katanya sambil mengingatkan di bawah kepemimpinan Abdul Hadi, Pas parti tunggal yang mempunyai wakil Ahli Parlimen (MP) terbanyak ketika ini
Katanya, walaupun difitnah dengan pelbagai perkara, namun Abdul Hadi berjaya membawa bersamanya 42 orang Ahli Parlimen berbanding PKR yang mempunyai hanya 31 orang.
“Jika kenyataan itu juga belum memadai untuk membuka mata beliau, bilang berapa negeri yang diperintah oleh PKR berbanding Pas yang mengusai empat buah negeri. Andai benar dakwaan jahat Saifuddin, mana mungkin masih ramai rakyat yang menyokong Pas sehingga ke tahap ini, Alhamdulillah,” katanya..
Menurut Tuan Ibrahim, dalam era kepemimpinan Abdul Hadi juga, PKR menumpang kasih bekerjasama memenangi banyak kerusi pilihan raya bahkan berjaya menafikan majoriti dua pertiga dan merampas beberapa negeri daripada kerajaan BN ketika itu.
“Orang yang paling bertuah merasa sendiri kemenangan dalam pilihan raya adalah Saifuddin yang menggunakan lambang Pas, parti yang dicerca oleh beliau hari ini,” katanya yang merujuk kepada Saifuddin yang diberi ruang bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Machang pada tahun 2008.
Beliau berharap Saifuddin tidak lupa jasa Abdul Hadi atau mungkin juga beliau perlu diperingatkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bilamana bertemu dengan Presiden Pas dan arwah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat memohon agar beliau dibenarkan untuk membantu PKR satu masa dulu.
“Manusia mudah lupa ini bukan sahaja tidak mengenang jasa, sebaliknya mengigit tangan mereka yang membantunya dahulu. Saya berharap agar Saifuddin tidak memadamkan fakta yang disebutkan dan beliau tidak ‘seperti melepaskan anjing tersepit’.,” katanya.
Mnnn
