Dakwaan PKR tanding solo tidak tepat

JOHOR BAHRU 18 April – Laporan yang mendakwa PKR akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang adalah adalah tidak tepat serta mengelirukan, kata Pengerusi PKR Johor Dr Zaliha Mustafa.

Beliau menyifatkan dakwaan itu bersifat spekulatif serta tidak mencerminkan kedudukan sebenar perbincangan di peringkat parti mahupun Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

“Sebarang pertimbangan berkaitan strategi menghadapi PRN Johor akan ditentukan melalui proses perundingan yang tersusun di peringkat dalaman  pimpinan parti dan dibincangkan juga di peringkat  Pakatan Harapan Negeri serta Nasional,” katanya.

Baru-baru ini sebuah portal melaporkan, PKR dikatakan merancang untuk bertanding solo dalam PRN Johor yang dijangka diadakan akhir tahun ini.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang menegaskan PKR Johor terus komited memperkukuh kerjasama bersama rakan-rakan komponen PH khususnya di Johor demi memastikan kestabilan dan kelangsungan agenda reformasi untuk rakyat.

Katanya, keutamaan kini adalah untuk terus memperkukuh gerak kerja di lapangan bersama rakan-rakan PH serta menyokong usaha dan dasar kerajaan Persekutuan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran kos sara hidup, ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kenaikan harga barang.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan spekulasi yang tidak berasaskan fakta.

Ini kerana kata Dr Zaliha, tindakan sedemikian tidak membantu usaha membina keyakinan rakyat terhadap kestabilan politik khususnya di peringkat negeri serta kerjasama antara parti-parti yang sedang berjalan ketika ini.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh turut menyifatkan laporan portal berkenaan tidak benar serta mengelirukan kerana tiada sebarang isyarat menunjukkan parti itu akan bergerak bersendirian.

Katanya, tiada sebarang perbincangan atau keputusan dibuat berhubung langkah PKR untuk bergerak solo dalam PRN berkenaan.

“Situasi politik di Johor berbeza dengan peringkat Persekutuan kerana di peringkat nasional, kerajaan dibentuk menerusi kerjasama antara PH  dan Barisan Nasional, namun di Johor, kerajaan negeri diterajui oleh Barisan Nasional (BN) menjadikan PH sebagai blok pembangkang.

“Di Johor, PH tidak berada dalam kerajaan negeri, kita tidak mempunyai wakil dalam majlis tempatan, ketua kampung, mahupun agensi kerajaan negeri dan ia jelas menunjukkan kedudukan PH sebagai pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas Program Sentuhan Kasih Dan Jualan Rahmah Madani.

Fuziah berkata, dalam keadaan itu, PH perlu bersedia menghadapi apa jua kemungkinan menjelang PRN akan datang termasuk bertanding secara solo jika keadaan memerlukan.

“Jika perlu, PH boleh berdiri solo sebagai satu gabungan, namun itu bukan bermaksud PKR bertanding solo kerana kami tetap bersama rakan-rakan dalam PH,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment