Ahli Parlimen waras akan tolak draf MoU

KOTA BHARU 18 Sept. –  Ahli Parlimen yang waras tidak akan menerima draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan pembangkang yang dilihat berat sebelah dan tidak memberi kebebasan selain bercanggah dengan perlembagaan.

Malahan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN)  Takiyuddin Hassan juga yakin jika Pakatan Harapan (PH) dalam kedudukan sebagai pembangkang berpendirian sama iaitu tidak akan menerima kandungan MoU itu.

Bercakap pada sidang media di Pejabat Pas Kota Bharu, di sini, hari ini, beliau  berkata, MoU itu dibuat oleh satu pihak iaitu kerajaan semata-mata tanpa ada sebarang perbincangan di antara PN dan kerajaan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kena dari segi amalan undang-undang, mana-mana pihak yang mahu membuat MoU atau perjanjian, kedua-dua pihak perlu berbincang dan menerusi perbincangan itulah terhasilnya MoU.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana tiada perbincangan langsung dibuat antara kerajaan dan PN sedangkan Perdana Menteri sebelum ini meminta perbincangan dibuat di antara PN dan kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Malah saya sendiri sudah tiga kali dipertanggungjawab berjumpa dengan Datuk Seri Fadillah, namun tiada juga sebarang perbincangan dibuat sebelum draf MoU diberikan kepada PN yang diterima pada 6 Ogos lalu,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri beberapa orang Ahli Parlimen termasuk dari Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang, Kuala Krai, Kuala Langat, Pendang, Baling dan Kuala Kedah.

Terdahulu, media melaporkan PN mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan menolak dua draf cadangan MoU yang membabitkan antara Kerajaan Malaysia dengan parti PN dan antara Kerajaan Malaysia dengan semua Ahli Parlimen PN itu dibuat atas empat sebab fundamental.

Hamzah mendakwa, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas turut mencadangkan kerajaan menyediakan draf baharu di samping penubuhan jawatankuasa khusus untuk membincangkan mengenai MoU itu selepas menyifatkan tiada ruang untuk perbincangan bersama kerajaan berhubung draf MoU terbabit.

“Sekiranya perbincangan berasaskan MoU yang ini, kami rasa tiada ruang untuk kami sumbang apa-apa alternatif atau perbincangan.

“Ini disebabkan semua yang terkandung dalam draf MoU ini tidak boleh diterima melainkan perbincangan dibuat untuk mewujudkan draf MoU yang baharu dengan perbincangan dilakukan oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata pihaknya juga merasakan tiada keperluan untuk menghantar surat rasmi kepada Fadillah berhubung penolakan MoU berkenaan.

“Mereka hantar MoU kepada kita pun tanpa mengambil pandangan kita. Jadi kita tidak perlu menghantar surat secara rasmi, cukuplah kami maklumkan kepada rakyat Malaysia kami menolak MoU berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan menunggu surat rasmi daripada pihak pembangkang yang dilaporkan menolak MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Fadillah dilaporkan berkata, setakat ini beliau hanya mengetahui berkenaan penolakan itu menerusi laporan media.

Takiyuddin juga berkata, PN akan mengusahakan supaya Ahli Parlimen gabungan itu mendapat apa juga sumber kewangan meskipun sedikit bagi meneruskan khidmat mereka kepada rakyat.

“Sekarang ini pun kami menggunakan elaun kami sendiri dan tiada langsung bantuan daripada Kerajaan Pusat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment