KUALA LUMPUR 17 Feb . – Sudah tiba masanya Akta Anti-Diskriminasi Kaum (ARD) digubal bagi mengawal dan mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menghasut kebencian kaum dan tindakan ekstremis yang menyasarkan mana-mana komuniti semata-mata atas dasar bangsa atau latar belakang.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, ARD penting bagi menghentikan sama ada individu perseorangan yang tidak bertanggungjawab mahupun orang politik daripada terlibat dalam ucapan kebencian, mempamer kebencian kaum dengan apa cara sekalipun.
Katanya, juga penting bagi menghentikan tindakan provokatif yang boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia dengan menimbulkan kebencian atau layanan tidak adil terhadap sesuatu komuniti.
“Kejadian yang tidak diingini di Sepang melibatkan seorang peniaga yang enggan menjual jagung kepada masyarakat India dan menggunakan bahasa yang merendahkan adalah sangat membimbangkan dan menunjukkan sejauh mana sentimen perkauman yang tidak sihat dan tidak rasional telah mempengaruhi segelintir golongan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, sentimen perkauman seperti di Sepang yang ditunjukkan oleh individu itu secara terbuka dan tanpa rasa malu tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang remeh, sama seperti ucapan rasis oleh ahli politik ekstrem.
Sebaliknya, ujar beliau, ia adalah satu realiti yang perlu ditangani melalui tindakan penguatkuasaan dan hukuman.
“Kegagalan berbuat demikian akan membawa akibat yang buruk dan jauh, yang bukan sahaja akan memecahbelahkan negara, tetapi juga akan menyebabkan keruntuhan keharmonian kaum dan agama, serta penghormatan dan toleransi terhadap kepelbagaian yang menjadi ciri-ciri ‘Malaysia Truly Asia’,” katanya.
Sebelum ini, pada September 2023, Senator Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa turut menyarankan kerajaan mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang berkaitan diskriminasi seperti Akta Anti-Diskriminasi, bagi menjamin keharmonian dalam kalangan masyarakat,
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Amanah itu berkata, perbincangan lanjut perlu dilakukan, bagi memastikan penggubalan akta itu mengambil kira realiti masyarakat majmuk di negara ini.
Katanya, kerajaan perlu lebih tegas menangani isu kebencian kaum dan agama yang dibuat melalui ucapan, dengan mewujudkan Undang-undang Anti Ucapan Kebencian.
“Tanpa undang-undang yang khusus, kita bimbang isu-isu perkauman dan agama sempit ini, akan terus dimainkan yang akhirnya boleh memecah belahkan masyarakat. Kita perlu hentikannya…sebab itu perlu ada Undang-undang Anti Ucapan Kebencian,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Negara.
Nnn
