PUTRAJAYA 17 Sept – Satu kes positif cacar monyet atau ‘monkeypox’ (Mpox) dalam varian Clade II (dua) dikesan semalam, menjadikan semua 10 kes bermula 26 Julai lalu yang hanya membabitkan Clade ll.
Susulan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan semalam bagi memantau situasi serta menyelaraskan langkah kesiapsiagaan dan respon yang berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata kes membabitkan seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September lalu, manakala ruam muncul sehari selepas itu.
Katanya, pesakit tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memaklumkan pesakit kini dalam isolasi dan keadaannya stabil manakala semua kontak pesakit sedang dikenal pasti dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut tatacara kendali piawai (SOP) semasa yang ketat.
Mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu susulan penularan virus Clade yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo (DRC) dan negara jiran di rantau Afrika.
Virus Mpox Clade I dikategorikan sebagai mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10 peratus, manakala Clade II mempunyai kadar kematian yang lebih rendah.
Dr Muhammad Radzi berkata, untuk meningkatkan kesediaan dan membolehkan orang ramai meningkatkan kawalan kesihatan kendiri, KKM akan meneruskan hebahan melalui pelbagai saluran media massa dan media sosial.
“Orang ramai juga boleh mengambil langkah termasuk individu berisiko tinggi yang bergejala Mpox seperti demam, bengkak kelenjar limfa dan ruam serta lepuh perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.
“Elakkan bersentuhan secara langsung dengan individu disyaki atau disahkan dijangkiti Mpox termasuk hubungan seksual dan amalkan kawalan kesihatan kendiri seperti mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” katanya.
Beliau turut menggesa pengamal perubatan terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“Bagi kes disyaki Mpox, swab lepuh, oral dan sampel darah serta serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus Mpox.
“Kes disyaki Mpox perlu dimaklumkan ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui sistem e-Notifikasi supaya siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan,” katanya.
(Foto WHO)
Nnnn
