KUALA LUMPUR 17 Sept. – Pas terbuka kepada sesiapa sahaja yang hendak bersama dengan parti itu tanpa menjanjikan bulan dan bintang, kata Naib Presiden, Idris Ahmad.
“Mereka yang sertai Pas faham. Pas tidak dihampari karpet merah. Insya Allah, mereka faham dasar dan agenda perjuangan Pas. Semoga mereka istiqamah dalam perjuangan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui Facebooknya sebagai mengulas penyertaan bekas pemimpin PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor dan bekas calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Dr Mazlan Ismail menyertai Pas.
Penyertaan mereka diumumkan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan pada Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Kerdau, Temerloh pada Ahad lalu.
Idris memaklumkan, Mohamad Ezam dan Mazlan ialah sahabat lama beliau dan sentiasa saling berhubung walaupun berlainan wadah perjuangan.
“Alhamdulillah, akhirnya mereka bersama dengan keluarga besar Pas. Pas terbuka kepada siapa yang hendak bersama dengan Pas, tidak paksa siapa untuk menyertainya. Pas hanya mengajak orang menyertai perjuangannya,.
Insya Allah, mereka faham dasar dan agenda perjuangan PAS. Semoga mereka istiqamah dalam perjuangan Pas,” katanya.
Mohamad Ezam sebelum ini adalah anggota UMNO dan menyertai PKR selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO. Pernah menjadi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Mohamad Ezam kemudian kembali menyertai UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-12 dan sekali lagi meninggalkan parti itu sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau kemudiannya mengumumkan keluar daripada parti itu dan mengumumkan penubuhan sebuah parti yang dikenali dengan nama Parti Bebas Rasuah.
Selepas beberapa bulan, Mohamad Ezam mengumumkan keluar daripada parti ditubuhkannya itu dan memberi perhatian kepada badan bukan kerajaan.
Sementara itu, Mazlan merupakan calon yang mewakili BN bertanding pada PRU13 menentang Anwar dan calon bebas, Abdullah Zawawi Samsudin.
Pada pilihan raya itu, Mazlan menerima sebanyak 25,369 undi, namun tewas pada Anwar yang memperoleh 37,090 undi.
(FOTO hiasan)
Nnnn
