SEPANG 7 Sept. – Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh mengingatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dilabel sebagai nyonya tua supaya tidak bercakap dan lebih baik diam jika tidak tahu tentang agama Islam.
Beliau membuat peringatan itu susulan kenyataan Teresa yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makan hanya menambah beban kepada peniaga dan memalukan negara.
Dr Muhamad Akmal menerusi Facebooknya berkata, yang memalukan negara adalah apabila ada ahli Parlimen seperti Teresa yang tidak habis-habis mengganggu gugat keharmonian negara.
“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun, Teresa kemudian dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Teresa berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Dr Muhammad Akmal juga menjelaskan mengenai sijil halal dan proses mendapatkan sijil halal kini lebih cepat berbanding sebelum ini.
“Pertama sekali saya nak bagi tahu kepada nyonya tua ini, sijil halal bukan sahaja arak dan babi tapi sijil halal ini merangkumi bagaimana dia nak sediakan (serta) bagaimana sumber itu dapat (diperolehi).
“Ini adalah aturan yang telah ditetapkan dan saya nak bagi tahu nyonya tua ini bahawa sijil halal ini dulu berbulan-bulan nak dapat, hari ini kita sudah pendekkan sehingga 23 hari sahaja boleh dapat sijil halal,” katanya.
Nnnn
