SOP ibadah korban di Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 26 Jun – Ibadah korban dibenarkan bermula pada Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik, mulai pukul 6 pagi hingga 6 petang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau memaklumkan, sebanyak 27 buah rumah penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dibenar menjalankan proses penyembelihan dengan kehadiran tidak melebihi 10 orang termasuk petugas.

Begitu juga dengan 35 buah rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan DVS, serta masjid dan surau dengan kelulusan DVS atau pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa agama atau pejabat kesihatan daerah.

“Proses potongan kecil dan membungkus pembahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat yang lapang dan tidak menyebabkan berlaku kesesakan.

“Sembelihan korban selain daripada rumah sembelihan hendaklah dilaksanakan tidak melebihi lima ekor dalam sehari dengan bilangan petugas tidak melebihi 10 orang bagi setiap haiwan, serta mengambil kira keluasan kawasan bagi mengelakkan 3s (sesak, sempit dan sembang dekat),” katanya dalam sidang media khas SOP ibadah korban menerusi penstriman langsung di Facebooknya malam tadi.

Katanya terdapat dua kaedah yang dicadangkan untuk tujuan agihan daging korban iaitu penghantaran secara langsung kepada peserta dan kehadiran peserta menerima daging korban.

Jumlah kehadiran peserta pengambilan bahagian tidak boleh melebihi jumlah petugas dalam satu masa mengikut SOP yang ditetapkan dan elakkan 3s.

Pada masa sama beliau turut menasihatkan supaya petugas yang dipilih hendaklah sihat, tidak bergejala dan bukan dalam kalangan pengidap penyakit kronik.

Selain itu, Zulkifli turut menyarankan agar memberi keutamaan kepada petugas yang telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Beliau juga menasihati supaya diadakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran melalui aplikasi mysejahtera, selain mewajibkan pemakaian pelitup muka serta pejarakan fizikal meleibihi 1 meter.

Related posts

Leave a Comment