KUALA LUMPUR 4 Sept. – Hasrat Dr Mahathir Mohamad untuk melihat Universiti Tsukuba Jepun membuka cawangannya di Malaysia, menjadi kenyataan selepas mencadangkan pembukaannya ketika melawat Tokyo pada tahun 2018.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau membuat cadangan itu ketika berbincang dengan mendiang Shinzo Abe, Perdana Menteri Jepun ketika itu.
Katanya, pembukaan universiti itu di sini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan pelajar-pelajar dari Asia Tenggara mendapatkan pendidikan Jepun dengan kos lebih rendah.
“Pada tahun 2018, semasa saya buat lawatan ke Tokyo, saya cadangkan supaya Jepun buka cawangan universitinya di Malaysia.
Akhirnya, hari ini, saya menghadiri pembukaan Universiti Tsukuba di Malaysia yang merupakan universiti Jepun pertama yang buka cawangannya di luar Jepun. Saya gembira ia menjadi realiti,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Dr Mahathir berkata selain menimba ilmu, kehadiran universiti ini juga bertujuan untuk menyerap nilai budaya Masyarakat Jepun, bagaimana mereka melakukan sesuatu perkara, berdisiplin, berkerja keras, berdedikasi dan lain-lain.
“Saya percaya budaya sesuatu bangsa akan tentukan sama ada mereka berjaya atau tidak. Ini saya lihat ketika kali pertama saya jejakkan kaki ke Jepun pada tahun 1961.
Jepun ketika itu baru sahaja pulih dari perang dan sibuk untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Tokyo pada tahun 1964. Mereka bekerja keras untuk membina semula negara dan akhirnya mereka menjadi salah satu kuasa ekonomi dunia,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, beliau kagum dengan disiplin rakyat Jepun dan budaya mereka yang rajin.
“Jika kita dapat serap sedikit sebanyak nilai-nilai ini, kita juga boleh berjaya sebagaimana rakyat Jepun. Inilah sebabnya Dasar Pandang ke Timur diperkenalkan. Selepas 40 tahun, ribuan pelajar kita dapat manfaat belajar di Jepun,” katanya.
Dr Mahathir juga mengucapkan tahniah kepada 13 pelajar kumpulan pertama dari Jepun dan Malaysia di universiti ini.