‘Berhenti Dulu Kita Solat’ di pasar malam

KANGAR 4 Sept. – Mulai 15 September ini, peniaga pasar malam beragama Islam di negeri ini diwajibkan menghentikan operasi perniagaan selama 20 minit bagi membolehkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat Maghrib.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, berkata tempoh masa itu termasuk 10 minit sebelum masuk waktu supaya tidak tergesa-gesa untuk solat.

Beliau berkata peraturan itu selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis pada 21 Ogos lalu yang bersetuju melaksanakan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’.

Katanya, buat permulaan, anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan akan turun padang bagi memastikan kejayaan program itu dengan memberi nasihat dan teguran.

“Ini antara inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah’ yang mana melalui program ini, peniaga pasar malam diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan ketika Maghrib bagi menghormati waktu solat,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan atau di lokasi disediakan pihak penganjur tapak pasar malam selain mana-mana kawasan dirasakan sesuai oleh peniaga.

“Bagi sebahagian kecil peniaga bukan Islam, mereka turut digalakkan menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan, namun tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan.

“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli ketika masuknya waktu solat Maghrib selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment