Puluhan ribu diarah pindah hadapi taufan

TOKYO – Puluhan ribu penduduk di Jepun diarah berpindah selain pihak berkuasa mengeluarkan amaran tertinggi bagi angin dan ribut di pulau utama selatan Kyushu, sebagai persediaan berdepan taufan terkuat tahun ini.

Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi, berkata taufan Shanshan dijangka tiba di selatan Kyushu dengan kekuatan luar biasa, manakala angin kencang, ombak tinggi, dan gelombang ribut luar biasa dijangka turut berlaku.

Angin ribut sehingga 252 kilometer (km) sejam dengan hujan lebat melanda Jepun sehingga menyebabkan syarikat kereta gergasi Toyota menangguhkan pengeluaran di semua 14 kilangnya.

Di selatan Kyushu, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) meramalkan 1,100mm hujan dalam tempoh 48 jam hingga pagi Jumaat, kira-kira separuh purata tahunan bagi wilayah Kagoshima dan Miyazaki.

Ketua ramalan JMA, Satoshi Sugimoto, berkata pihaknya juga mengeluarkan amaran khas tertinggi untuk ribut ganas, ombak dan air pasang besar di bahagian wilayah Kagoshima Kyushu.

“Sehubungan itu kita menasihatkan 56,000 orang penduduk untuk berpindah.

“Amaran itu menunjukkan kemungkinan bencana besar yang didorong oleh (taufan) adalah sangat tinggi,” katanya pada sidang media.

Japan Airlines pula membatalkan 172 penerbangan domestik dan enam penerbangan antarabangsa semalam dan hari ini, manakala ANA membatalkan 219 penerbangan domestik dan empat penerbangan antarabangsa bermula semalam hingga Jumaat, yang menjejaskan 25,000 orang.

Sementara perkhidmatan Kereta Api Kyushu akan menangguhkan beberapa perkhidmatan Shinkansen antara Kumamoto dan Kagoshima Chuo.

Related posts

Leave a Comment